+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, August 1, 2008

Pusrawi boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian


Agenda daily


Hospital Pusrawi boleh dikenakan tindakan iaitu denda sehingga RM300,000 dan pengurusannya juga boleh dikenakan hukuman penjara jika siasatan mendapati terdapat kecuaian yang mengakibatkan kebocoran maklumat`laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berkata hukuman itu boleh dikenakan mengikut Akta Kemudahan Perubatan Swasta 1998.

Selain itu, doktor yang terlibat dengan insiden itu juga boleh dikenakan tindakan disiplin oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kerana mengeluarkan laporan kepada umum yang melanggar etika profesionalisme sorang pengamal perubatan.

"Selepas dia (Pusrawi dan polis) buat siasatan kita akan dapat tahulah apa yang telah terjadi.

Boleh dikenakan tindakan terhadap kedua-dua (Pusrawi dan doktor). Macam-macam boleh dikenakan termasuk tindakan disipilin kerana ia melibatkan etika dan profesionalisme seorang pengamal perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri sesi dialog bersama kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu Khamis.

Katanya siasatan dalaman sedang dilakukan oleh polis dan Hospital Pusrawi untuk mengetahui bagaimana laporan perubatan ke atas Mohd Saiful boleh tersebar.

Bernama melaporkan beliau berkata kementerian setakat ini masih belum menerima sebarang laporan hasil siasatan kes itu.

Pengarah Perubatan Hospital Pusrawi Dr Kamaruddin Ahmad, dalam sidang akhbar yang diadakan semalam, menafikan doktor pakar dari hospital itu melakukan pemeriksaan berkaitan liwat ke atas bekas pembantu peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.

Dr Abdul Latif berkata beliau kesal dengan insiden itu kerana ia menjejaskan kredibiliti Hospital Pusrawi sendiri memandang rekod pesakit adalah sulit dan maklumatnya tidak boleh dibawa keluar masuk atau disebarkan sembarangan.

Katanya kementerian akan memastikan perkara itu tidak berulang di hospital lain di negara ini.- 31/7/2008

---------------------------------


Laporan HKL dipertahan...ikut etika

Kementerian Kesihatan tetap berpegang kepada laporan hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan – bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican berkata, pemeriksaan sepenuhnya yang dijalankan pada 28 Jun lalu oleh pengamal perubatan HKL dibuat prosedur operasi yang standard berlandaskan kepada etika perubatan, kerahsiaan dan profesionalisme.

"Maklumat terperinci mengenai pemeriksaan tidak pernah dan tidak akan diberikan kepada mana-mana individu atau agensi yang tidak layak. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berkaitan hasil pemeriksaan kesihatan itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari Selasa.

Kenyataan beliau dikeluarkan sebagai reaksi kepada penyebaran rekod pemeriksaan kesihatan oleh seorang doktor Hospital Pusrawi terhadap Saiful oleh beberapa laman web dan blog yang dikatakan sebagai bukti tidak berlakunya kejadian liwat.

Hari Isnin, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad dalam kenyataannya menyifatkan, berita yang mendakwa ada laporan perubatan tiada kesan liwat ke atas Saiful berniat jahat bagi memberi gambaran tidak berlakunya perbuatan liwat.

“Laporan ini mempunyai unsur mala fide . Apa juga bentuk laporan sama ada kesan calar ada atau tidak, tiada siapa boleh buat kesimpulan liwat tidak berlaku selagi perkara berkenaan tidak dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Menurut Dr. Ismail, pihak Kementerian Kesihatan sedang menyiasat kesahihan rekod pemeriksaan kesihatan yang tersebar luas itu.

"Kita akan menyiasat sama ada institusi itu mempunyai protokol dan tatacara pengeluaran rekod perubatan. Dalam apa juga keadaan, rekod perubatan adalah rahsia dan tidak harus dihebahkan dan kerahsiaannya merangkumi sistem penyimpanan dan tatacara keselamatan dokumen maklumat berkenaan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Majlis Perubatan Malaysia (MPM) memandang serius penyebaran rekod perubatan pesakit di laman web oleh pihak berkenaan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika terbukti ia dilakukan pengamal perubatan yang berdaftar.

Pengamal perubatan, katanya, mempunyai tanggungjawab etika, moral dan perundangan untuk menjaga kerahsiaan pesakitnya dan tidak boleh membocorkan sebarang maklumat yang diperolehi melalui interaksi profesional dengan pesakit tanpa keizinan.

"Hubungan doktor-pesakit adalah satu hubungan yang mulia dan kerahsiaan adalah rukun amalan perubatan yang baik.

"Pesakit akan memberi semua maklumat peribadi dan sulit kepada pengamal dengan penuh harapan dan kepercayaan yang maklumat yang disampaikan akan dimanfaatkan dengan balasan pekhidmatan rawatan yang bersesuaian di samping menjaga kerahsiaannya," katanya.

Dr. Mohd Ismail berkata, pengamal perubatan yang disabit melanggar tataetika kerahsiaan sebagaimana termaktub dalam Akta Perubatan 1971 boleh dihukum dengan celaan, digantung pendaftaran atau dipotong nama daripada buku daftar pengamal perubatan, bergantung kepada keberatan kesalahan.

Sementara itu Bernama melpaorkan, Hospital Pusrawi, hospital yang dikaitkan dengan rekod perubatan itu, dalam tindakan segeranya telah menubuhkan badan siasatan sendiri untuk menentukan kesahihan dokumen itu.

Pengurus Besarnya, Wan Mahmood Wan Yaacob berkata, hospital itu tidak pernah mengeluarkan rekod perubatan Mohd Saiful Bukhari tetapi tidak menolak kemungkinan ia dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab di hospital itu.

"Secara rasmi memang kita tidak boleh mengeluarkan rekod perubatan pesakit. Hanya antara pesakit dan doktor sahaja yang boleh mengetahui maklumat perubatan itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan Mohd Saiful Bukhari memang telah menjalani pemeriksaan di hospital itu tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut berhubung perkara itu.

Wan Mahmood berkata, badan siasatan itu yang ditubuhkan Hospital Pusrawi hari ini dianggotai seorang pegawai kanan sumber manusia, seorang pegawai kanan pemasaran dan seorang ketua jururawat yang tiada kaitan dengan pemeriksaan ke atas Mohd Saiful Bukhari.

Hasil siasatan dalaman ini akan diserahkan kepada polis, katanya. – 29/7/2008

1 comments:

Unknown said...

Rata-rata yang suka buat spekulasi awal tentang kes liwat ni adalah penyokong kuat Anwar yang suka buat andaian melulu. Ada juga yang menghentam pakar-pakar yang cuba menerangkan kepincangan medical report Saiful oleh Dr Osman. Sedangkan tujuan mereka berbuat demikian bukan untuk menerangkan prosedur sebenar untuk siasatan kes liwat oleh pakar. Ada juga yang sampai tahap tak kisah jika Anwar benar-benar melakukan liwat. Apapun kita tunggu hasil siasatan polis dan laporan hospital yang akan dibentangkan di mahkamah nanti...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |