+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 11, 2008

ISA terhadap pencetus isu perkauman: Abdullah

Berita Harian

Oleh Azman Zakaria, Norfatimah Ahmad dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my

Situasi hubungan kaum menunjukkan tanda kurang baik

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan teragak-agak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap sesiapa saja yang membangkitkan isu perkauman hingga menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran itu selepas Kabinet pada mesyuaratnya semalam berpendapat situasi hubungan kaum menunjukkan tanda kurang baik yang mungkin boleh menyebabkan ketegangan.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga mengarahkan supaya semua kementerian yang mempunyai bidang kuasa undang-undang berkaitan keselamatan dan perhubungan kaum melaksanakannya dengan tegas.

"Kalau perlu, saya percaya Menteri Dalam Negeri yang mempunyai kuasa terhadap ISA akan mengambil tindakan itu sekiranya ia wajar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, semalam.

Abdullah menegaskan kerajaan selama ini dapat kawal keadaan supaya tidak berlaku perkara tak diingini.

"(Namun) Isu yang biasa tidak ditimbulkan dulu, kini ditimbulkan dan perkara yang tidak pernah dibincang dibincangkan dan timbulkan pelbagai reaksi," katanya.

Beliau yang juga Presiden Umno menjelaskan penguatkuasaan undang-undang perlu supaya rakyat memahami bahawa keharmonian negara berbilang kaum mesti dipelihara bagi mengekalkan keamanan, ketenteraman dan saling meyakini antara kaum.

"Saling menghormati... inilah yang kita mahu, situasi seperti ini memberi kesempatan kepada rakyat maju.

"Kita perlu sayang negara kita dan buat yang sebaik-baiknya dan mengelak pergaduhan atau perkara yang mencetuskan pergaduhan antara kaum. Kita perlu selamatkan Malaysia daripada pergaduhan kaum," katanya.

Ditanya sama ada tindakan yang akan diambil itu boleh menyekat kebebasan bersuara, Abdullah berkata, tiada kebebasan mutlak di dunia ini tanpa sebarang sekatan atau kebebasan.

"Undang-undang mesti dihormati. Undang-undang dibuat oleh Parlimen yang anggotanya di kalangan wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya.

"Kita memahami bahawa tiada seseorang pun atas nama kebebasan boleh bercakap apa juga yang disukai sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan menyakitkan hati orang lain.

"Soalnya sama ada orang berkenaan nak ambil tindakan atau tidak, kalau rasa nak ambil tindakan terhadap yang menggunakan kebebasan bersuara itu menghina dan menggugat hak. Itu satu kebebasan untuknya berbuat demikian," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |