+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, November 7, 2008

Pembebasan Raja Petra Satu Pencapaian Yang Menakjubkan, Kata Isteri

Bernama

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Mable atau Marina Lee, isteri editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini membebaskan suaminya daripada penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu pencapaian yang menakjubkan.

"Saya tak tahu apa nak cakap...ia menakjubkan dengan apa yang berlaku hari ini," katanya kepada pemberita selepas keputusan itu.

Marina yang memakai kemeja-t berwarna merah dengan tulisan "I Am With RPK" juga bersyukur apabila perkara itu (keputusan pembebasan Raja Petra) berlaku seperti yang beliau jangkakan.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dalam penghakiman pada pukul 9.45 pagi ini berkata walaupun Seksyen 8 ISA selaras dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam kes ini, alasan penahanan yang dibuat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 akta itu.

Beliau telah mengarahkan agar Raja Petra, 58, yang kini ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak sejak 12 Sept lepas, dibawa ke mahkamah sebelum 4 petang ini bagi urusan pembebasannya.

Alasan penahanan Raja Petra di bawah ISA antara lain menyebut, beliau sejak 16 Jan lepas sehingga ditangkap pada 12 Sept lepas melalui laman web blog "Malaysia Today" yang dimiliki dan dikendalikan beliau telah bertindak secara sedar, sengaja dan tidak bertanggungjawab menyiarkan artikel-artikel tulisannya dan komen pembaca yang mempersenda dan menghina orang Islam, kesucian Agama Islam serta peribadi Nabi Muhammmad SAW yang telah membangkitkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

Tindakan beliau itu sekaligus boleh mewujudkan krisis keyakinan terhadap agama Islam serta mencetuskan persengketaan dan ketegangan agama di antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini, serta artikel-artikel tulisannya yang berunsur fitnah dan palsu terhadap pemimpin negara bertujuan untuk menjejaskan keyakinan dan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan yang mana seterusnya boleh menggugat ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara.

Raja Petra telah memohon writ habeas corpus bagi mendapatkan pembebasan dirinya daripada penahanan mengikut ISA dengan alasan bahawa penahanannya tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan. Beliau menamakan Syed Hamid sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan Abdul Wahab Mohamad ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu berkata" Saya akan merujuk kepada pihak atasan dahulu sekiranya ingin membuat rayuan."

Sementara itu, suasana di mahkamah yang sesak menjadi riuh rendah apabila kira-kira 50 penyokong Raja Petra bertepuk tangan dan bersorak sebaik mahkamah membuat keputusan menyebabkan Hakim Syed Ahmad Helmy menegur dengan berkata: "This is the Court of Law" "Ini adalah Mahkamah Undang-undang."

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |