PUTRAJAYA - Jika pada 1990-an berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia terpedaya dengan skim pelaburan anjuran individu bernama Pak Man Telo, kini koperasi berdaftar pula didakwa sudah terikut-ikut dengan janji keuntungan skim yang sama.
Bezanya, Pak Man Telo atau nama sebenarnya Osman Hamzah memperdayakan 50,000 orang dengan nilai pelaburan RM99 juta. Tiga buah koperasi kini didakwa menjalankan skim yang hampir serupa dengan mengutip RM80 juta daripada 5,000 ahli.
Akibatnya, operasi kesemua koperasi tersebut kini digantung dan asetnya dibekukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berkuat kuasa semalam.
Koperasi-koperasi itu ialah Koperasi Birr Berhad (Birr) dan Koperasi Usahawan Malaysia Berhad (KUMB) yang beroperasi di Kuala Lumpur. Sebuah lagi koperasi yang turut digantung ialah Koperasi Taqwa Malaysia Berhad (Kotaqwa) yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.
Kegiatan koperasi-koperasi itu disiasat selepas pihak pengurusannya menawarkan perolehan dividen antara 8 hingga 12 peratus sebulan.
Dalam pendedahannya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, kegiatan yang bermula sejak beberapa tahun lalu itu dibongkar dalam serbuan SKM bersama Bank Negara Malaysia (BNM) setelah ketiga-tiga koperasi itu didapati melanggar Akta Koperasi 1993 dan Akta Penggubahan Wang Haram.
0 comments:
Post a Comment