+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 8, 2009

Sesi ‘Dialog’ Dengan Penduduk Seksyen 23

Khalid Samad

Semua melihat apa yang berlaku dalam sesi dialog tersebut. Saya merasakan ianya peristiwa yang amat memalukan ummat Islam. Tengah-tengah bulan puasa pula. Sedih. Itulah apa yang berlaku bila tidak menghayati ajaran agama dan tidak juga menerima asuhan yang baik dari pemimpin. Hishamuddin memberi sokongan dan dorongan secara terbuka dan selepas itu menyedari tidak boleh secara terbuka, mesti secara tertutup. Seterusnya mengutuk tetapi semua tahu, reaksi awal adalah apa yang sebenar tersemat di hati. Hakikatnya tukang demo tidak dikenakan apa-apa tindakan hingga ke hari ini. Sedangkan tindakan mereka jelas melampaui batas. Ini adalah bukti bahawa Hishamuddin membela dan melindungi mereka. Begitu juga si Noh Omar, ‘hero Melayu’ gelar mereka.

Matlamat sesi dialog adalah untuk mendapat pandangan dan reaksi penduduk terhadap cadangan pemindahan berkenaan. Ianya merupakan langkah terakhir dalam proses lima langkah seperti berikut :-

1. Tapak cadangan dari PKNS - Ini adalah kerana telah dipersetujui PKNS akan menggantikan tapak kuil di Seksyen 19 dengan tapak lain milik mereka kerana tapak di Seksyen 19 akan diambil alih oleh mereka.

2. Persetujuan MBSA bahawa lokasi berkenaan adalah sesuai. Ini adalah wajar memandangkan MBSA adalah pihak yang bertanggung jawab atas perancangan bandar Shah Alam.

3. Persetujuan AJK Kuil – ini telah diperolehi selepas proses perbincangan pada hujung bulan Mei. Nota mesyuarat ditanda-tangani sebagai bukti persetujuan mereka kerana tidak mahu berlaku penafian atau bertukarnya fikiran. Surat inilah yang dijaja oleh orang-orang demo kepala lembu itu. Persetujuan AJK kuil perlu kerana dasar PR ialah musyawarrah bukan paksa pindah ke mana orang lain tetapkan.(Itu dasar UMNO – rujuk pengakuan bangga KT).

4. Persetujuan Kerajaan Negeri atas cadangan untuk memindahkan kuil ke tapak yang dicadangkan. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri mahu memantau semua aktiviti pembinaan dan perobohan kuil.

Pada tahap ini, cadangan mencapai status sebagai ‘cadangan rasmi’ dan barulah boleh dibincangkan dengan pihak awam, terutama penduduk sekitar kawasan berkenaan. Mengadakan perbincangan bersama penduduk sebelum mendapat persetujuan ke empat-empat pihak ini tidak memberikan sebarang makna, kerana cadangan itu belum lagi merupakan cadangan rasmi.

5. Pertemuan dan perbincangan dengan penduduk berhubung cadangan yang telah dipersetujui terlebih dahulu oleh ke empat-empat pihak seperti di atas. Ini adalah kerana walau macam mana sekalipun, penerimaan oleh penduduk sekitar adalah penting untuk menjamin keharmonian.

Jika berdasarkan peraturan yang sediada, peruntukan jarak melebihi 50 meter tidak mewajibkan sebarang perbincangan diadakan dengan penduduk. Namun dasar PR adalah untuk mengadakan perbincangan walaupun jaraknya melebihi 50 meter, jika dilihat akan memberikan kesan. Sekiranya penduduk bersetuju, maka inilah yang ideal dan cadangan itu boleh dilaksanakan. Sekiranya setelah dikemukakan, penduduk menolak maka adalah lebih baik untuk dipertimbangan tapak alternatif sekiranya ada.

Malangnya kerajaan Negeri Selangor tidak diberi peluang untuk membentangkan cadangan ini di peringkat ke-5. Cadangan ditolak sebelum ianya dikemukakan dengan cara amat tidak sopan.

Hakikatnya, sekiranya cadangan ditolak secara sopan sekalipun – iaitu tanpa sebarang aksi yang telah ditunjukkan sebelum ini, kerajaan PR akan mengambil kira pandangan penduduk. Namun atas sebab hasutan pihak tertentu dan kempen salah-maklumat yang dilakukan maka cadangan ditolak mentah-mentah dengan cara paling tidak sopan. Yang dipertikaikan adalah cara bantahan dibuat, bukannya bantahan itu sendiri. Ada yang menganggap kerajaan negeri sudah pun mahu mula pembinaan! Sedangkan tiada pelan kuil yang telah diluluskan. Nak bina macam mana kalau tiada pelan?

Kami dituduh tidak mahu mendengar pandangan penduduk. Yang hadir pada hari tersebut melihat secara jelas siapa sebenarnya yang tidak mahu mendengar. Ini boleh dibuktikan melalui video clip yang tersiar di beberapa blog. Hanya blog UMNO yang tidak mahu menyiarkannya kerana tahu ianya hanya akan memalukan mereka. Semua tahu yang berperangai sedemikian bukan ahli PAS dan bukan PKR. Nafikanlah berapa kali sekali pun, rakyat tahu ini perangai UMNO.

Saya diberitahu juga ada pihak yang mendakwa bahawa mereka yang terlibat membuat kacau semasa sesi dialog tempohari adalah terdiri dari ahli PAS dan PKR. Sekiranya benar, maka saya cadangkan mereka ini dihadapkan di bawah lembaga disiplin parti, dipecat dan sekiranya didapati bersalah dikenakan tindakan dibawah akta hasuatan. Dalam masa yang sama, saya juga berharap jika ada ahli UMNO yang terlibat sama, maka mereka juga dikenakan tindakan yang sama. Mahukah mereka melakukan perkara yang sama sekiranya benar-benar yakin?

Teringat saya kisah Haji Bakhil. Dia tanam duit di sesuatu tempat dan meletakkan papan tanda ‘Tiada Duit Di Sini’. Datang pula Haji Bahalol menggali dan mengambil duit berkenaan. Seterusnya dia meletak papan tanda yang menyatakan ‘Bukan Hj Bahlol yang ambil duit di sini’. Bagi saya, begitulah penafian mereka terhadap keterlibatan UMNO dalam soal ini.

Esoknya Najib dengan gembiranya mengumumkan sesi dialog tersebut merupakan bukti kegagalan PR mentadbir Negeri Selangor. Persoalannya, adakah kemungkinan orang-orang yang bertindak samseng diminta berkelakuan sedemikian supaya Najib boleh membuat kenyataan sebegini? Sudah pasti mungkin! Dan ini juga merupakan penjelasan munasabah mengapa mereka bertindak sedemikian rupa. Tanpa provokasi dan tanpa sebab seperti yang telah dijelaskan.

Sebenarnya kenyataan Najib sendiri itu pun tidak benar sama sekali. Kerajaan negeri telah berjaya mengadakan sesi dialog dengan penduduk dan maklumat yang diinginkan telahpun diperolehi (walaupun bukan melaui jalan perbincangan yang diharapkan) iaitu penduduk setempat menolak cadangan tersebut. Mungkin bagi Najib ‘kejayaan’ diukur berdasarkan nilai projek yang dijalankan. Khir Toyo membelanjakan RM600,000 dan ini dianggap ‘kejayaan’. Walaupun masalah tetap tidak diselesaikan! Kontraktor juga yang untung.

Sebagai kerajaan yang perihatin, kami mengambil kira penolakan ini oleh penduduk Seksyen 23, bukan kerana ianya dilakukan secara biadab, tetapi kerana ianya adalah pandangan penduduk setakat mana yang boleh diperolehi. Walaupun ramai yang berdiam diri, namun itulah keputusan yang dizahirkan.

Begitu jugalah dengan kenyataan Khir Toyo. Dia dengan gembiranya menyatakan bahawa semasa dia MB, tiada masalah sebegini. Ya, betul kerana kami sebagai pembangkang merupakan pembangkang yang bertanggung jawab. Kami tidak menggunakan provokasi samseng atas isu-isu perkauman dan agama seperti mereka. Mereka bila jadi pembangkang, jelas merupakan pembangkang yang tidak bertanggung jawab! Bila memerintah pun menjadi kerajaan yang tidak bertanggung jawab, bila pembangkang begitu juga, pembangkang yang tidak bertanggung jawab!

Seterusnya kami telah pergi melawat tapak alternatif dengan kadar segera. Kami ingin memenuhi hak penduduk Seksyen 19 dan juga hak kuil tersebut. Tapak tanah di tepi kilang Nitto Denko Seksyen 23 telahpun kami lawati pagi tadi bersama PKNS, MBSA, para ADUN dan juga MB. Seterusnya akan dikemukakan kepada AJK kuil. Sekiranya mereka setuju, akan disediakan kertas cadangan untuk kelulusan Exco Kerajaan dan melalui 5 proses yang sama seperti yang telah dinyatakan. Lokasinya ditanda dipeta yang disertakan.


Sambil semua perkara ini diusahakan, saya berharap semua bertenang dan bersabar. InsyaAllah masalah ini akan diselesaikan dengan baik walaupun UMNO berusaha untuk mengagalkannya. Itulah sahajalah yang UMNO pandai buat: KACAU.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |