+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, March 29, 2008

Semua Adun Terengganu akur pelantikan Ahmad Said

Berita Harian

oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA TERENGGANU: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu menghormati dan menerima keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno merestui pelantikan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar walaupun terkejut dengan keputusan dibuat pucuk pimpinan tertinggi Umno itu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid, berkata pihaknya akur keputusan yang memihak kepada Ahmad dan akan mengadakan pertemuan dengan Adun lain untuk membincangkan perkara berbangkit, termasuk kenyataan mereka sebelum ini untuk meletak jawatan jika Datuk Seri Idris Jusoh tidak dilantik Menteri Besar.

"Kita mudah saja...pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat Pusat sudah menyatakan keputusan mereka dan kita sebagai ahli parti perlu akur kerana yang penting kita bersama parti," katanya tanpa enggan bercakap panjang ketika dihubungi Berita Harian, di sini, hari ini.


Sebelum ini, kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu memuncak apabila semua 22 Adun sebulat suara menolak calon selain Idris untuk dilantik Menteri Besar dan sebahagian mereka turut menyatakan kesanggupan meletak jawatan jika Idris tidak dipilih semula ke jawatan itu.

Ahmad menerima watikah perisytiharan pelantikan jawatan daripada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman di Istana Tetamu, di sini, Ahad lalu.

Adun Alur Limbat yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Alias Abdullah, berkata majoriti wakil rakyat yang menyokong kepemimpinan Idris selepas mendapat watikah daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agak terkejut dengan keputusan MT, tetapi mereka menghormati kehendak parti.

Beliau berkata, semua wakil rakyat menyokong Idris kerana berdiri teguh bersama kepemimpinan parti, terutama Presiden Umno yang awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada wakil rakyat lain supaya tidak cuba merebut peluang bekas Menteri Besar itu untuk dilantik semula ke jawatan itu.


"Keputusan MT menerima pelantikan Ahmad memang mengejutkan kerana sebelum ini tidak ada petunjuk yang menunjukkan kepemimpinan parti akan menerima calon Menteri Besar selain Idris. Tetapi, sebagai ahli yang sentiasa patuh pada pucuk pimpinan kita terpaksa terima keputusan itu.

"Selama ini (sepanjang tempoh selepas keputusan pilihan raya), sokongan padu terhadap Idris dibuat bukan saja kerana menyokong individu itu, tetapi kerana ia pegangan parti. Tetapi, semalam mereka sudah memutuskan untuk mempersetujui kehendak MPPR dan kami akur.

"Tidak timbul soal kami (Adun) menderhaka kepada istana berikutan tetap mahu mempertahankan Idris kerana tindakan dan sokongan kami adalah bersandarkan kepatuhan dan kesetiaan kepada kehendak parti.

"Saya juga melihat kesanggupan beberapa wakil rakyat untuk meletak jawatan sebelum ini adalah reaksi yang dibuat ketika menghadapi keadaan sukar dan terdesak seperti itu," katanya.

Alias berkata, rakyat pastinya tidak mahu wakil rakyat yang dipilih dan diberi mandat oleh mereka meletak jawatan sehingga boleh menjejaskan kekukuhan parti BN yang cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu apabila menang dengan majoriti lebih dua pertiga.

Sementara itu, Adun Bandar, Toh Chin Yaw, berkata ahli parti harus akur dengan apa juga keputusan yang dibuat pucuk pimpinan, termasuk keputusan terbaru mempersetujui pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar.

"Dulu keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti (mahu Idris sebagai Menteri Besar) dan sekarang pun keputusan parti (mempersetujui pelantikan Ahmad). Jadi kita sebagai ahli parti perlu terima dan sokong. Yang penting, kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan," katanya.

Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam, berkata ahli parti perlu mengikut disiplin parti dengan menyokong apa juga keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.

"Kita nak kata apa. Yang penting nasib rakyat akan terus dibela dan kepemimpinan yang baru menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin di peringkat akar umbi," katanya.

orangkita kata :
sudahlah 23 penyamun....konon kata kalau mat said jadi MB nak letak jawatan....apa lagi...letak le....hari tu berapi-api sangat konon nak boikot....dei thambi!!! kasi malu sama orang lain ah.....korang duduk satu kapal pun bole tak sehaluan....lagi nak pimpin rakyat....hancur!!!!!

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |