+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, March 29, 2008

Ahmad Said maaf 22 Adun

Berita Harian

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin, Mohammad Ishak, Hamid Salleh dan Suhaidi Mohamed Amin


Datuk Ahmad Said

Menteri Besar baru nafi bermusuh dengan Idris, mendendami sesiapa

CUKAI: Menteri Besar Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Said, sedia memaafkan semua 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang sebelum ini menentang pelantikannya ke jawatan itu.

Malah, Ahmad yang juga Adun Kijal menegaskan, beliau tidak pernah bermusuh dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan tidak pernah berdendam dengan sesiapa.


"Dulu saya bertanding dengan (Menteri Penerangan) Datuk Ahmad Shabery Cheek (mewakili Parti Semangat 46 pada pilihan raya kecil 1990), tetapi pada 2004, saya memanggil Ahmad Shabery menyertai Umno.


"Alhamdulillah hari ini Datuk Ahmad Shabery berjaya dalam karier politiknya. Begitu juga pada 2000, Datuk Abu Bakar Ali (bekas Adun Kemasik) selaku Pemangku Ketua Umno Bahagian Kemaman pernah memecat saya, tetapi apabila saya menang dalam pemilihan parti, tiada tindakan diambil terhadapnya,” kata Ahmad kepada pemberita di rumah ibunya di sini, petang semalam.

Kelmarin, MT memperakukan pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu, sekali gus menyelesaikan kemelut dalam kepemimpinan kerajaan di negeri itu yang berlarutan selama tiga minggu sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Ahmad berkata, beliau berterima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta ahli MT yang mahu kontroversi berhubung pemilihan Menteri Besar Terengganu diselesaikan dengan sempurna.


Ditanya sama ada beliau akan terus menerima idea Idris bagi membentuk barisan Exco, Ahmad berkata:

"Tidak ada masalah kerana saya akui beliau (Idris) seorang pemimpin hebat yang pernah dilahirkan oleh negeri Terengganu. Beliau adalah sahabat saya di universiti. Saya pernah bercakap dengan beliau beberapa hari lalu di Putrajaya dan kami sentiasa berterus terang."

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada Exco lama akan dilantik semula, Ahmad berkata ‘dalam politik tiada musuh berkekalan, tidak ada kawan berkekalan’.

Katanya, beliau akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail di Istana Maziah, esok manakala pelantikan Exco akan disempurnakan dalam tempoh 10 hari selepas itu.

Beliau yang Ketua Umno Bahagian Kemaman berkata, keutamaannya kini adalah untuk merapatkan hubungan dan menjelaskan salah faham yang wujud sebelum ini.

“Sebenarnya saya tidak nampak ini adalah satu permasalahan kerana semua ketua bahagian di Terengganu saling mengenali antara satu sama lain. Saya rasa ini adalah sebahagian pengajaran kepada kami semua bahawa kita tidak mampu berpecah dan episod yang berlalu biarlah berlalu.

“Kita harus terus dengan keyakinan baru kita untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Insya-Allah saya tidak nampak, bahawa akan berlaku sebarang masalah. Apa yang penting, pemimpin Umno mesti berjiwa besar untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Idris terus membisu berhubung keputusan MT memperakukan pelantikan Ahmad.

Beliau, yang tiba di kediamannya di Kampung Tok Has, Jertih, kira-kira jam 6 petang juga tidak berucap sekali pun lebih 10,000 penyokongnya dari daerah Besut dan Setiu berkumpul di rumahnya sejak selepas solat Jumaat.

Adun Jertih itu yang ditemani isterinya, Toh Puan Seri Kamariah Zakaria, hanya bersalaman dan bertanya khabar dengan penyokongnya yang sesetengahnya kelihatan mengesat air mata.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Idris berkata beliau belum bersedia membuat sebarang kenyataan kerana takut disalah anggap.

“Saya akan ke Kuala Terengganu Ahad ini untuk memohon pertukaran sekolah anak saya di Besut,” katanya sambil menyatakan hasrat berehat bersama keluarga dan belum ada sebarang perancangan.

Di KUALA TERENGGANU, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid, berkata semua 22 Adun BN yang sebelum ini menyokong Idris, akur dengan keputusan MT.

“Idris pun tenang dan tidak emosional. Dia anggap, apa yang berlaku sebagai takdir,” katanya.

Rosol berkata, selepas mesyuarat MT kelmarin, Idris dan 22 Adun berkenaan juga mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri. Beliau yang juga Adun Ajil, bagaimanapun tidak mendedahkan perkara yang dibincangkan dalam perjumpaan itu.



0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |