+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 20, 2008

'Belum ada keputusan lanjut usia persaraan' - PM

Berita Harian

Oleh Anwar Hussin

PM positif terima syor, Cuepacs buat kenyataan mengelirukan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan terhadap cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk meningkatkan usia persaraan kakitangan sektor awam daripada 56 tahun kepada antara 58 dan 60 tahun.

Perdana Menteri berkata, beliau menerima secara positif cadangan Cuepacs itu, tetapi belum lagi membuat keputusan berhubung perkara itu.


"Cuepacs membuat kenyataan yang mengelirukan. Saya katakan bahawa saya ingin melihat ini sebagai satu cadangan yang positif.


"Saya bersikap positif mengenainya untuk meningkatkan usia persaraan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemukiman bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sini , semalam.

Presiden Cuepacs, Omar Osman dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri Khamis lalu, dilaporkan berkata, kerajaan sudah pun menerima lima tuntutan kesatuan itu. Lima tuntutan itu ialah mengkaji semula sistem Penilaian Tahap Kecekapan; Lanjutan usia persaraan wajib dari 56 tahun ke 58 atau 60 tahun; Kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan dari RM180 sebulan ke RM230; Pembayaran elaun kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua dan bayaran pencen mengikut tempoh perkhidmatan.

Bagaimanapun, satu lagi tuntutan Cuepacs supaya kakitangan awam diberikan honorarium RM2,000 ditolak oleh kerajaan.

Abdullah berkata, beliau akan mengumumkan keputusan kerajaan dalam satu lagi pertemuan dengan Cuepacs bulan depan.

"Saya tidak katakan (bersetuju) 60 tahun. Dan saya katakan, usia persaraan itu akan saya umumkan kemudian," katanya.

Cuepacs juga sebelum ini mengancam akan memboikot sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini jika kerajaan enggan memenuhi enam tuntutan yang dikemukakan oleh kongres itu sejak tiga tahun lalu.

Cuepacs kemudian membatalkan hasrat mereka untuk memboikot Hari Pekerja.

Sementara itu, Abdullah berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menjadi sebuah badan bebas.

"BPR sudah menghantar kertas kerja kepada saya dan saya akan membuat keputusannya nanti," katanya ketika diminta mengulas cadangan BPR supaya agensi itu dibenarkan beroperasi seperti Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong.

Sejak ditubuhkan pada 1974, ICAC menggunakan tiga pendekatan iaitu penguatkuasaan undang-undang, pencegahan dan mendidik masyarakat dalam memerangi rasuah.

Hasil kerjasama kerajaan dan masyarakat, Hong Kong kini menjadi antara negara yang bersih daripada gejala rasuah.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |