+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 20, 2008

WAJAH & NOTA: Cuepacs salah tafsir, keliru. Di mana silapnya?

Mstar Online

20-04-2008 04:32:12 PM
oleh G.MANIMARAN

PERTEMUAN antara Perdana Menteri dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Khamis lalu, yang pada awalnya disifatkan telah berlangsung dalam suasana mesra, kini nampak sedikit tercemar apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa membetulkan keadaan dengan menyatakan Cuepacs telah menyalah tafsir dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengelirukan berhubung hasil pertemuan tersebut.

Beberapa hari selepas pertemuan tersebut, Abdullah tampil menjelaskan kandungan hasil perbincangan.

Tegas Abdullah, beliau hanya menyatakan bahawa cadangan Cuepacs supaya menaikkan umur persaraan bagi kakitangan awam daripada 56 tahun sekarang kepada 60 tahun adalah positif. Ia merupakan antara lima isu yang dibawa ketika pertemuan tempoh hari.

Dengan penjelasan itu, menurut beliau, kerajaan tidak memberikan lagi kata putus muktamad sama ada mahu menaikkan usia persaraan sehingga 60 tahun.

Nampaknya wujud kekeliruan dalam memahami perkara yang diputuskan dalam pertemuan.

Dengan diiringi keliruan, Cuepacs pula telah mengumumkan hasil keputusan terlalu awal ataupun dilabelkan telah bertindak gopoh sedangkan Perdana Menteri seharusnya hanya mengumumkan keputusan kerajaan pada 29 Mei.

Apabila Cuepacs membuat pengumuman tersebut pada Khamis lalu, juga timbul persoalan sama ada keputusan kerajaan itu melibatkan semua kakitangan ataupun hanya berdasarkan keupayaan dan kedudukan kesihatan individu masing-masing.

Ia tidak jelas sama sekali. Jika keputusan itu dilaksanakan bermakna setiap kakitangan awam seramai 1.2 juta orang secara automatik akan menikmati hasil keputusan baru itu kelak.

Kedua, hasil pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, sehari kemudian pada Jumaat lalu, agensi itu pula menyatakan kerajaan tidak memutuskan untuk menaikkan usia persaraan sehingga 60 tahun. Sebaliknya pada dasarnya hanya bersetuju untuk menaikkan daripada 56 kepada 58 tahun.

Banyak orang memberikan reaksi terhadap pengumuman Cuepacs sejak Khamis lalu.
Ketika ada yang menyambut baik dan gembira dengan pengumuman itu, pihak majikan sektor swasta pula menegaskan, pihaknya hanya berminat untuk mengekalkan usia persaraan 55 tahun di sektor bukan kerajaan.

Sebagai badan yang mewakili kakitanagan awam Cuepacs mahu menenangkan fikiran ahli-ahlinya dengan memberitahu hasil pertemuan kongres itu dengan Perdana Menteri secepat yang mungkin.

Langkah itu tidak salah sama sekali. Ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi Cuepacs.
Tidak dapat dinafikan Cuepacs mempunyai tugas dan peranannya dalam hal ini.

Bagaimanapun apa yang penting ialah pengumuman yang dibuat oleh Cuepacs sebenarnya melibatkan dasar kerajaan.

Justeru tindakan membuat pengumuman sedemikian memerlukan langkah berhati-hati.
Apabila ia melibatkan dasar kerajaan, maka adalah wajar pengumuman seumpama itu dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri ataupun agensi kerajaaan yang dilantik untuk berbuat demikian.

Jika ia dilakukan oleh Perdana Menteri, maka kesannya adalah lebih mendalam dan ia juga akan mencetuskan keyakinan.

Kesilapan yang timbul daripada kekeliruan ini sebenarnya telah mengakibatkan kecelaruan.

Walaupun kekeliruan ini nampak kecil, tetapi ia secara tidak langsung menimbulkan krisis kecil dari segi persepsi terhadap kerajaan, malah terhadap Cuepacs juga.

Kerajaan dan Cuepacs terpaksa mengambil usaha untuk memperbetulkan persepsi sedemikian.

Kepimpinan Cuepacs seharusnya bijak dalam mengumumkan hasil pertemuan. Silap langkah akan membawa kepada suasana seperti yang dialami sekarang, yang akhirnya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Jika diambil jalan senang, adalah mudah untuk mengatakan bahawa kesilapan ini berpunca daripada pengamal-pengamal media itu sendiri, yang dikatakan tidak memahami perkara yang disampaikan oleh Cuepacs.

Tetapi hampir keseluruhan media membawa laporan yang sama. Oleh itu, tidak harus menyalahkan wakil media dari segi tahap pemahaman mereka.

Cuepacs tidak perlu kecewa dengan perkembangan ini. Cuepacs perlu lebih berhati-hati pada masa-masa akan datang.

Cuepacs merupakan entiti penting dalam pembangunan negara. Ia mewakili lebih sejuta kakitangan awam yang menggerakkan pengurusan dan perjalanan kerajaan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |