+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 21, 2008

Kemenangan PAS di Johor petanda riwayat Umno sudah hampir tamat - Salahuddin

Harakahdaily

Salman Hussin

Sat | Apr 19, 08 | 11:18:30 am MYT


BATU PAHAT, 19 April (Hrkh) � Kejayaan PAS Johor memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan raya Umum (PRU) lalu, menjadi petanda bahawa riwayat Umno sudah hampir sampai ke penghujungnya.

"Kalau sebelum ini mereka menyifatkan kemenangan Dr Mohd Ramli Md Kari, di Dun Senggarang, sebagai kemenangan betina, tetapi pada PRU Ke-12 ini, PAS telah berjaya memenangi dua kerusi Dun (Maharani dan Sungai Abong), secara anak jantan, kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, di sini.

Katanya, walaupun bagi mereka kejayaan PAS menawan dua kerusi Dun ini tidak menjejaskan sama sekali kedudukan mereka namun mereka harus ingat bahawa itu adalah petanda awal kejatuhan mereka.

"Selama ini mereka merasa cukup kuat dan kebal seolah-olah tidak ada siapa pun yang mampu menggugat keampuhan serta kekuatan mereka, tetapi mereka lupa bahawa kekuatan yang mereka miliki hanyalah bersifat sementara.

"Hari ini segala keangkuhan serta kesombongan mereka selama ini telahpun terjawab apabila enam kerusi Dun dan satu Parlimen, terlepas kepada pembangkang, dengan kejayaan ini juga ia sekali gus telah menafikan tanggapan Umno bahawa Johor adalah kubu kebal mereka.

"Walaupun pada PRU Ke-12, tempoh hari, gabungan PAS, DAP dan KeADILan, gagal mendapatkan kemenangan besar bagi membolehkan kita membentuk keraajaan di Johor, tetapi saya cukup yakin dengan kejayaan awal yang begitu menggalakkan ini, kita mampu untuk mencapai kejayaan yang lebih besar lagi pada masa depan," katanya.

Salahuddin yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian Kelantan, seterusnya, membidas sikap hipokrit pemimpin-pemimpin Umno yang sekarang ini sedang giat menjaja isu perpaduan Melayu.

"Mereka mainkan isu ini bertujuan menarik semula sokongan orang Melayu setelah mereka mengalami kekalahan teruk pada PRU Ke-12 lalu, yang menyaksikan empat lagi negeri selain Kelantan, terlepas kepada pembangkang.

"Selama ini mereka tidak pernah pun berhasrat untuk membincangkan soal perpaduan Melayu, anehnya kenapa baru sekarang mereka beriya-iya sungguh mahu berbincang soal perpaduan orang Melayu.

"Bila mereka tewas di lima negeri dan Umno itu sendiri pun sudah hampir menuju saat kehancuran, baru mereka teringatkan soal perpaduan orang Melayu, dulu semasa mereka merasakan diri mereka sangat hebat dan cukup kuat, mereka lupa semua ini, tetapi apabila menyedari kehebatan serta keanggunan mereka sudah mula terhakis sedikit, barulah mereka menggelabah dan tidak tentu arah, ke mana hilangnya kesombongan serta keangkuhan mereka selama ini," katanya.

Begitu pun menurut Salahuddin, PAS yang sentiasa berpegang dengan ajaran Islam tidak pernah sama sekali menutup ruang untuk berbincang walau dengan sesiapapun.

"PAS sentiasa bersikap terbuka dan profesional dalam apa juga perkara, sekiranya Umno benar-benar ikhlas mahu membincangkan soal perpaduan orang Melayu, kita tidak keberatan untuk membuka laluan bagi membolehkan perbincangan ini diadakan.

"Sebagai pemimpin Islam kita tidak bersikap seperti mereka, ini kerana perjuangan kita bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata, tetapi untuk kepentingan seluruh rakyat yang ada di negara ini," katanya lagi. - mns

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |