Harakahdaily Suhaimi Taib Sun | Apr 20, 08 | 1:11:59 pm MYT | |
KERAJAAN Terengganu akan menghapuskan caj sewa meter paip air sebanyak 80 sen sebulan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) mulai 1 Mei ini. Menteri Besar, Dato' Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu berkata, caj yang dimasukkan ke dalam bil bulanan pengguna itu akan ditanggung sepenuhnya oleh SATU selepas ini dan pengguna tidak perlu lagi dibebani oleh pembayaran tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Abdul Wahid Endut sebelum ini pernah menjelaskan bahawa dengan bayaran 80 sen sebulan untuk sewa meter berkenaan, SATU dikatakan memperolehi pendapatan tambahan kira-kira RM70,000.00 sehingga ini hasil kutipan sewa meter berkenaan. Bayaran sewa meter itu berkuat kuasa mulai bulan Jun tahun lalu sebagaimana dinyatakan dalam bil air yang diedarkan di kalangan pengguna SATU. Sementera itu Ketua Audit Negara melaporkan bahawa SATU memperolehi pendapatan sebanyak RM30 juta pada tahun 2006. Manakala laporan untuk auditan tahun 2007 belum diperolehi. PAS telah membantah pungutan sewa berkenaan dan telah membawa isu ini ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tahun lalu. PAS juga telah memasukkan soal menghapuskan bayaran sewa meter dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu. Bagaimanapun Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Menteri Besar yang lalu, Dato' Seri Idris Jusoh memandang sepi sahaja desakan PAS untuk memansuhkan bayaran terbabit. Haji Mohd Abdul Wahid berkata, kerajaan BN mendakwa terpaksa menanggung kos akibat kecurian meter ketika meter lama tidak ditukar kepada meter baru yang kebanyakan komponenya terdiri dari bahan polymer (plastik). Kerajaan boleh menggunakan wang Dana Khas dari Kerajaan Pusat untuk menampung kos pembiayaan berkenaan. Kerajaan sanggup mengeluarkan tidak kurang RM700 juta wang rakyat untuk projek Monsoon Cup dan Taman Tamaddun Islam di Pulau Duyong dan Pulau Wan Man Kuala Terengganu kerana pemimpin Umno dan kroninya mempunyai kepentingan tertentu dalam projek berkenaan. Bagaimanapun tindakan menghapuskan bayaran sewa meter berkenaan dialu-alukan. Ia berubah apabila kerajaan BN menggantikan menteri besarnya yang lama dalam satu penyelesaian krisis politik, selepas pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu. Ia berlaku apabila Dato' Seri Idris tidak diperkenan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dipengerusikan oleh Raja Tengku Baderulzaman (adik kepada Yang Dipertuan Agong). Sebaliknya Dato' Ahmad Said, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dipilih sebagai menteri besar negeri tersebut walaupun menerima bantahan dari kebanyakan ahli Perhubungan Umno negeri itu. Tindakan menuntut kehendak rakyat ini merupakan suatu perubahan yang dibuat oleh Umno Terengganu, selepas melihat era sekarang ialah era kuasa rakyat menentukan kerajaan masa depan. Mana-mana parti yang tidak melayan kehendak mereka akan tersungkur kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Demikian antara pengajaran yang diambil dari pilihan raya tersebut. Bagaimanapun Januari lalu, pengguna air SATU di Wakaf Beruas, Kuala Terengganu telah dikejutkan dengan bayaran deposit tambahan antara RM100.00 hingga RM170.00 seorang. Dengan tambahan bayaran ini, penghapusan bayaran sewa meter tidak memberi pengertian apa-apa kepada pengguna terbabit kerana mereka dibebankan pula dengan bayaran tersebut. Difahamkan SATU berbuat demikian bertujuan untuk menambah pendapatan tahunan syarikat berkenaan. Ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dari Daerah Kuala Terengganu dan kemudiannya akan berpindah ke seluruh daerah lain di negeri tersebut. Jesteru walaupun nampaknya Ahmad cuba menunaikan permintaan rakyat bagi menghapuskan bayaran sewa meter tersebut tetapi kerajaan negeri itu masih lagi tidak membuat pertimbangan sewajarnya menggantikan pemansuhan bayaran tersebut dengan bayaran yang lebih besar jumlahnya dari sewa meter berkenaan. Kerajaan BN di bawah pimpinan menteri besar baru hendaklah menghapuskan semua bayaran deposit tambahan tersebut jika kerajaan itu benar-benar cakna dengan masalah ekonomi dan desakan hidup rakyat akibat kenaikan harga barang sekarang. Bagi penduduk miskin, jumlah RM100.00 dan RM170.00 adalah amat besar dan membebankan mereka. SATU masih berupaya 'survive' dengan pendapatan yang sedia ada. Kerajaan Terengganu bukan satu kerejaan yang miskin, ia pernah dikenali sebagai Quwait Malaysia suatu ketika dahulu. Tetapi sayang hasil dasar lautnya terpaksa diperolehi dalam bentuk tabungan dan ihsan (dana khas) dari Kerajaan Pusat apabila menerima padah setelah menafikan hak (merompak) royalti petroleum dan gas ketika PAS memerintah negeri tersebut (tahun 1999-2004). Walaupun melalui dana khas, 'ranking' Terengganu negeri kedua terkaya di Malaysia selepas Selangor masih tetap tidak berubah kerana negeri itu tetap menerima kira-kira RM1 bilion setahun daripada dana berkenaan. Justeru, apa salahnya jika kerajaan mahu berbudi kepada rakyat setelah rakyat berbudi kepada parti itu dengan mengekalkan dua pertiga penguasaan kerusi dalam Dewan Undangan Undangan (DUN) Terengganu selepas pilihan raya umum ke 12 yang lalu. Berbudi kepada rakyat lebih baik daripada berbudi kepada kroni-kroni Umno yang dikutuk oleh rakyat. - mns |
Monday, April 21, 2008
Hapuskan juga bayaran tambahan deposit air
Posted by
Sang Pemantau
at
1:41 AM
Labels: bela rakyat, Harakahdaily, MB tganu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment