Malaysiakini |
Apr 20, 08 10:05am |
Walaupun Raja bertindak atas nasihat ketua kerajaan, tetapi Raja tidak wajar memberi perkenan jika nasihat yang diberikan itu tidak mencerminkan keadilan, titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Berasaskan semangat Raja Berperlembagaan, titah baginda, seseorang Raja mempunyai peranan untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, memberi galakan dan dorongan serta memberikan sesuatu peringatan dan teguran. Menurut laporan Bernama, Sultan Azlan Shah bertitah demikian sempena sambutan Hari Keputeraan ke-80 baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, semalam. Turut berangkat ialah Raja Pemaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Dihilir Perak Raja Jaffar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Raja Normahani Raja Shahar Shah, kerabat diraja Perak, Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin, barisan Exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan. Sultan Perak turut berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 46 penerima di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini. "Raja sewajarnya menggunakan akal bicara, menggunakan hikmah mempertimbangkan secara arif lagi bijaksana dalam memberikan sesuatu perkenan terutama dalam perkara berhubung kepentingan negeri dan rakyat," titah baginda lagi. Konsep Raja Perlembagaan Sultan Azlan Shah turut bertitah, institusi Raja perlu bijaksana memberi tafsiran kepada semangat yang terkandung dalam konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Titah baginda, kedua-duanya tidak seharusnya dijadikan instrumen menghalalkan cara jika perkara yang dinasihatkan itu sama sekali bertentangan dengan undang-undang dan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan. Sementara itu, baginda bertitah, dalam menghadapi kemungkinan suasana dunia berdepan dengan pelbagai kemelut besar ekonomi, para pemimpin tidak sewajarnya bertelagah sebaliknya mereka perlu mencari kata sepakat untuk kebaikan rakyat dan negeri. Baginda bertitah pemimpin perlu memperkenalkan usaha untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing, mengamalkan budaya berjimat, mengelakkan pembaziran dan mengoptimumkan penggunaan sumber. "Harga petroleum diramalkan terus meningkat, kos pengeluaran dan harga bahan makanan serta bahan-bahan keperluan harian akan turut meningkat. Kadar inflasi yang tinggi jika berlaku akan mengurangkan kuasa beli pengguna. "Ekonomi yang tidak berkembang atau menguncup mungkin berlaku. Akan berlakulah putaran ganas di serata dunia yang memungkinkan berlakunya kesusahan," titah baginda lagi. Koridor utara Sultan Azlan Shah bertitah kerajaan negeri perlu meneruskan dasar pembangunan yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi seperti yang terkandung di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan rancangan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Baginda bertitah kerajaan negeri yang baru hendaklah meneruskan usaha pembangunan lebih pesat dan melaksanakan urus tadbir secara adil dengan setiap rakyat wajib diberikan perhatian yang saksama tanpa mengira agama, kaum, jantina dan fahaman politik. Sultan Azlan Shah bertitah kepentingan negeri dan rakyat hendaklah mengatasi kepentingan politik kepartian. "Masa berkempen telah berakhir. Kini adalah masa bekerja. Berkempen dan bekerja sangat berbeza. Segala janji hendaklah dipenuhi, segala kata perlu dikota. "Segala fikiran, tenaga dan sumber hendaklah dijuruskan untuk memajukan negeri, terutama usaha menambah baik prasarana, menarik pelaburan, merapatkan jurang pendapatan, menyediakan perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah, membasmi kemiskinan, membangunkan modal insan dan mewujudkan peluang pekerjaan," titah baginda. |
Monday, April 21, 2008
Sultan: Raja berperanan beri teguran
Posted by
Sang Pemantau
at
12:58 AM
Labels: malaysiakini, Sultan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment