ALOR STAR 19 April - Penanam-penanam padi di negeri ini mahu kerajaan menaikkan harga minimum padi pada kadar yang setimpal selaras dengan kenaikan harga beras.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, para pesawah yang menemuinya mendakwa mereka terpaksa menanggung kos tinggi bagi mengusahakan bendang pada masa ini.
Katanya, golongan berkenaan yang juga merupakan pengguna menghadapi bebanan ekoran kenaikan kos mengerjakan sawah termasuk harga racun, baja dan sewa bendang selain harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat.
Justeru, katanya, mereka menyifatkan harga padi yang dijual sekarang tidak lagi relevan dan perlu dinaikkan bagi membela nasib pesawah yang merupakan nadi kepada pengeluaran beras negara.
"Ramai petani datang menemui saya untuk meluahkan keperitan mengusahakan sawah dengan kos yang tinggi ditambah pula kenaikan kos sara hidup ketika ini. Mereka juga mempersoalkan adakah relevan sekiranya harga beras naik sedangkan harga padi masih di takuk lama?," katanya di sini hari ini.
Yusoff berkata, sekalipun harga minimum padi dinaikkan, ia tidak akan mempengaruhi harga beras di pasaran yang telah sedia naik ketika ini.
Menurut beliau, kenaikan harga beras hanya memberi keuntungan kepada pengilang dan pemborong beras, sedangkan para pesawah tidak mendapat apa-apa manfaat darinya.
"Sepatutnya nasib penanam-penanam padi yang perlu diberi perhatian kerana mereka mewakili kelompok penduduk yang besar terutama di negeri ini," katanya.
Menurutnya lagi, jika kerajaan menaikkan harga padi, ia bukan sahaja membantu pesawah menambah pendapatan mereka, tetapi secara tidak langsung mampu memberi perangsang kepada mereka untuk mengusahakan sawah dengan bersungguh-sungguh.
Harga Minimum Terjamin (HMT) padi kini ialah RM650 setan metrik. Dianggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 75,000 pesawah di seluruh Kedah dan menyum- bangkan 40 peratus kepada pengeluaran beras negara.
0 comments:
Post a Comment