+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 21, 2008

Giliran Samy Vellu pula tambah 'malapetaka' Umno

Harakahdaily

Mat Zain Mat Isa
Sat | Apr 19, 08 | 11:35:44 am MYT

Tanpa hipokrasi, perlu diakui bahawa Presiden MIC, Dato' Seri S Samy Vellu adalah seorang yang bekerja keras untuk memenuhi tuntutan kaumnya. Sepanjang penglibatannya yang lama dalam kerajaan, beliau telah menempa banyak kejayaan dalam apa yang diperjuangkannya.

Selain mengangkat martabat kaum India dalam aspek ekonomi dan sosial, sebilangan tuntutan mereka berkaitan hal ehwal agama turut ditunaikan kerajaan. Sejurus sebelum pilihan raya umum bulan lalu, Perdana Menteri mengumumkan Hari Thaipusam sebagai cuti umum di beberapa negeri yang terdapat ramai pekerja India, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Terbaru pula kaum India negara ini telah diberi kebenaran oleh Kementerian Dalam Negeri untuk membawa masuk 800 sami daripada India untuk bertugas di kuil Hindu dan gurdwara Sikh.

Bagaimanapun sebilangan lagi tuntutan dan kepentingan kaumnya sehingga kini tidak dapat dipenuhi. Ada juga kes-kes cuba diselesaikan Samy Vellu yang menemui jalan buntu. Bukan sekali, bukan dua kali, apabila kerap diasak dengan persoalan sama membabitkan sesuatu yang gagal diselesaikannya, Samy Vellu akan mudah melenting.

Kes serupa berulang lagi Selasa lalu. Akhbar New Straits Times, 16 April menyiarkan bagaimana pemimpin MIC itu serta-merta meninggalkan satu majlis dialog apabila diasak berulang kali dengan soalan sama ada masalah sekumpulan pelajar lulusan perubatan dari universiti yang tidak diiktiraf kerajaan akan akhirnya diiktiraf sebagai doktor. Kes mereka itu sudah berlanjutan hampir enam tahun.

"I have been dwelling on your problems for the last five to six years. Stupid, isn�t it? Stupid. Very stupid," keluh Samy Vellu, sebagaimana disiarkan akhbar berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam dialog dianjurkan Maju Institute of Education Development (MIED), bagi mencari penyelesaian kes mereka. Ia berkaitan usaha Kementerian Kesihatan memperkenalkan satu program khas bagi membolehkan pelajar terbabit memindahkan jam kredit ke universiti awam atau swasta tempatan dan menamatkan pengajian mereka.

Bagaimanapun, para pelajar yang hadir ke majlis dialog itu dikatakan masih mempertikaikan kepastian program berkenaan. Keraguan itu menghangatkan hati Samy Vellu.

"What are you trying to explain to me? Are you saying I am stupid? I am trying to help you and you are trying to argue with me?," kata Samy Vellu, penuh emosi.

Beliau yang nyata kecewa malah mengatakan "now I feel that whatever I tried to do is no good� (sekarang saya rasa apa juga yang saya cuba buat tidak berguna), sebelum mengambil keputusan menamatkan dialog tersebut.

Rasanya, bukan saja orang seperti Samy Vellu yang akan terganggu dengan asakan sedemikian. Reaksi serupa mungkin akan diambil mana-mana pemimpin lain jika terus-terusan dihantui masalah yang tidak kunjung selesai.

Tidak mengejutkan apabila ditemuramah sebuah akhbar laman web di hari sama, Samy Vellu mendakwa Umno tidak menjaga kepentingan kaum lain dengan adil membabitkan pelbagai aspek termasuk peluang pekerjaan, pelajaran serta perumahan.

Kita tidak pasti apakah temu ramah itu diadakan sebelum atau selepas Samy Vellu berdialog dengan para pelajar tadi. Bagaimana pun tidak mustahil gangguan emosi itu wujud apabila Samy Vellu ditemu ramah web itu. Beliau dikatakan memberi kata dua kepada kerajaan bahawa pihaknya akan meminta bantuan daripada negara luar jika nasib kaum India di negara ini terus diabaikan.

Ekoran kenyataan terbuka itu, pelbagai pihak dalam komponen BN sendiri menyifatkan beliau sebagai terlalu emosional dan tidak menggunakan fikiran waras ketika membuat kenyataan.

Mereka berpendapat bekas Menteri Kerja Raya itu terlalu kecewa dan tidak dapat menerima hakikat kekalahan parti dan dirinya dalam pilihan raya umum lalu sehingga mendorong beliau menyalahkan pihak lain.

Memang Samy Vellu sukar menerima kekalahannya. Ia bagaimanapun bukan dialami beliau seorang saja. Ramai lagi pemimpin BN, termasuk yang menang, juga tidak dapat menerima hakikat kekalahan parti mereka.

Justeru, jika dikatakan kenyataan Samy Vellu itu terdorong rasa kecewa akibat kekalahan BN, apakah wajar beliau dianggap tidak menggunakan fikiran yang waras semata-mata kerana mengaitkan kekalahan diri dan partinya dengan kegagalan Umno?

Lagi pun, Samy Vellu tidak keseorangan dalam memperakui bahawa punca utama kekalahan ramai calon BN dalam pilihan raya umum lalu ialah kesilapan dan keburukan para pemimpin Umno. 24 Mac lalu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dipetik New Straits Times sebagai mengaitkan kekalahan ramai calon BN di Pulau Pinang dengan keangkuhan para pemimpin Umno.

"The general election results were also due to the people�s dissatisfaction with perceived arrogance of power within BN, especially over certain Umno leaders whom through their words or actions have resulted in resentment," akhbar itu memetik kata Tsu Koon.

Tiada jawapan atau ulasan dari mana-mana pemimpin tertinggi Umno di atas komen Tsu Koon itu. Sekurang-kurangnya ia tidak disiarkan mana-mana akhbar arus perdana, tidak sebagaimana reaksi mereka terhadap kenyataan Samy Vellu ini.

Kemungkinannya ada dua. Pertama, barangkali kerana Tsu Koon ada imej sopan dan tertib. Beliau tidak dikenali seorang pemimpin yang gopoh atau boros, sama ada dalam tindakan atau kenyataannya. Maka jika para pemimpin Umno mempertikaikan kenyataan orang sebaik itu, dibimbangi pihak lain akan mempersoalkan kembali reaksi para pemimpin Umno itu.

Kedua, di saat Tsu Koon mengeluarkan kenyataan mengkritik para pemimpin Umno itu, dalaman Umno sendiri sedang dilanda 'malapetaka' sangat dahsyat. Kata mengata, tuding menuding dan salah-menyalah ekoran prestasi buruk BN dalam pilihan raya lalu sedang bersipongang di kalangan sesama pemimpin Umno.

Barangkali disebabkan terlalu sibuk menangani 'malapetaka' dalaman itu, para pemimpin Umno terlepas pandang kenyataan pedas Tsu Koon itu. Sebaliknya, kenyataan Samy Vellu datang di saat Umno seakan semakin jernih, sekurang-kurangnya pada zahirnya.

Keadaan itu barangkali menyebabkan para pemimpin Umno ada sedikit masa mengalihkan perhatian kepada kenyataan Samy Vellu itu. Malah reaksi beberapa pemimpin Umno lebih menjurus kepada serangan peribadi terhadap Samy Vellu.

"Tidak guna tuding jari menyalahkan phak lain bila partinya kalah, cermin diri sendiri dulu. Dia lebih maklum apa yang dilakukan ketika dalam kabinet. Kenapa tidak buat sesuatu dan kini mendakwa kerajaan tidak membantu kaumnya," kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, sebagaimana disiarkan Berita Harian, Jumaat (18 April).

Veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa dalam akhbar sama pula menyifatkan Samy Vellu sebagai pemimpin yang ditolak kaumnya sendiri.

"Saya fikir dia masih tidak sedar diri lagi kenapa orang tidak menyokong MIC. Ahlinya tidak mahu dia menjadi pemimpin, dia seorang pemimpin yang oportunis, fikirkan diri sendiri sehingga mengabaikan perasaan dan kepentingan kaumnya di peringkat akar umbi," katanya.

Kedua-dua pemimpin Umno itu nyata memperlekehkan Samy Vellu apabila menyalahkan para pemimpin Umno yang gagal menyelesaikan masalah kaum India. Tapi sebahagian dakwaan Samy Vellu itu juga ada asasnya.

Contohnya, dalam kes pertikaian tapak kuil Hindu di beberapa negeri, terutama di Selangor menjelang pilihan raya baru-baru ini. Sebahagian kuil itu dirobohkan kerajaan negeri pimpinan Umno. Isu itu diakui antara sebab kekalahan teruk BN di negeri tersebut sehingga menumbangkan kerajaan BN.

Dalam beberapa kes yang berlaku, Samy Vellu bukan punca kebencian. Dia mungkin dipersalahkan masyarakat India kerana dianggap tidak melakukan usaha secukupnya bagi mempertahankan rumah ibadat kaumnya. Tetapi jangan lupa Samy Vellu antara pemimpin politik paling awal tiba ke tempat kejadian setiap kali kes perobohan atau pertikaian mengenai tapak kuil berlaku.

Tindakan beliau itu jika dibandingkan dengan sikap dan pendirian para pemimpin Umno terhadap perobohan surau ternyata amat bercanggah. Samy Vellu wajar diberi pujian atas pembelaannya itu. Ertinya, jika pun beliau ditolak kaumnya atas anggapan beliau tidak berusaha secukupnya untuk membela kepentingan kaumnya, yang tidak memberi ruang secukupnya kepada pembelaan itu ialah pemimpin Umno yang menerajui kerajaan.

Maka ada benarnya jika dikatakan punca sebenar kekalahan BN ialah kerana sikap para pemimpin Umno. Samy Vellu mungkin agak keterlaluan bila mengugut membawa masalah dalaman negara kepada pihak luar, sekali gus mengundang campur tangan luar.

Bagaimanapun kenyataan sebegitu sudah tentu tidak dikeluarkannya jika dia masih ada keyakinan dan kepercayaan terhadap keupayaan pemimpin kerajaan, khususnya para pemimpin Umno.

Untuk itu, kenyataan Samy Vellu itu sebenarnya satu lagi episod cacamarba dalam BN, sekali gus menambahkan kerumitan kepada krisis keyakinan yang kini menjadi 'malapetaka' kepada Umno. - mns

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |