+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 21, 2008

Ex-gratia kepada Salleh Abas hanya politik - DR M

Agenda daily



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan krisis kehakiman 1988 menyifatkan keputusan kerajaan memberikan ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas hanya bersifat politik.

S
ehubungan itu, beliau mempersoalkan atas alasan apa keputusan pemberian ex-gratia itu diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap pada satu majlis pertemuan dengan pelajar Malaysia di Manchester, England, beliau menolak tanggapan bahawa pemecatan hakim-hakim tersebut bercanggah dengan prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.

“Kenapa bayaran pampasan ini perlu dibuat kerana keputusan (memecat hakim) dibuat mengikut undang-undang. Jika mereka boleh buktikan ia bercanggah dengan undang-undang, tolong buktikan kepada saya…sehingga kini mereka tidak dapat buktikan,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan membayar ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat ekoran krisis kehakiman pada tahun 1988.

Selain bayaran ex-gratia itu, Abdullah turut mengumumkan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman bagi meneliti dan membuat cadangan perlantikan hakim.

Mengulas mengenai penubuhan suruhanjaya itu, Dr. Mahathir berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya berkenaan tidak boleh dilaksanakan hanya dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Sebaliknya, menurut beliau, penubuhan itu melibatkan pindaan perlembagaan persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada Ahli Dewan Rakyat.

Barisan Nasional kini hanya mempunyai 140 kerusi dan tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum yang lalu.

Bagaimanapun Dr. Mahathir secara sinis berkata, pindaan tersebut mungkin boleh dibuat kerana beliau yakin pembangkang akan turut sama menyokong cadangan berkenaan.

Dr. Mahathir pada sidang media itu juga berkata, keputusan pilihan raya umum yang lalu membuktikan rakyat sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan parti dan negara. – 20/4/2008

-------------------------------------


Bayaran ex-gratia bukan mohon maaf

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pembayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan lima lagi bekas hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman pada tahun 1988 tidak harus ditafsir sebagai satu bentuk permohonan maaf dariapda kerajaan.

Sebaliknya menurut beliau, pembayaran itu dibuat sebagai pertimbangan kerajaan terhadap apa yang telah dilalui oleh bekas hakim-hakim tersebut.

“Pembayaran ex gratia bukan seperti melihat semula apa yang telah diputuskan. Ia tidak harus ditafsirkan sebagai sebarang bentuk minta maaf tetapi ini adalah cara kita mengambil pertimbangan apa yang mereka lalui, pengalaman peribadi mereka, kesusahan yang telah mereka rasai. Itu saja...jadi ia patut dilihat dari aspek itu. Ia tidak harus ditafsirkan lebih daripada itu,” kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara pengeluar kenderaan Chery Automobile Co Ltd dan Alado Corporation Sdn Bhd di Cyberjaya, hari Jumaat

Khamis malam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan selain daripada membayar ex-gratia kepada enam hakim kanan itu, juga akan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim untuk mencalonkan, melantik dan menaikkan pangkat hakim secara telus dan diwakili.

Selain Salleh, lima lagi hakim yang terlibat ialah Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed serta Datuk George Seah. – 18/4/2008

--------------------------------------------------------

PM ajak hakim yang dipecat dalam krisis 1988 ‘mara ke depan’



Suasana dalam dewan besar Hotel Marriot Kuala Lumpur Khamis malam memang cukup menarik.

Ada wajah tokoh-tokoh dari Barisan Nasional dan begitu juga dari parti pembangkang.

Ia bukan majlis politik tetapi jamuan makan malam Majlis Peguam.

Paling mencuri perhatian tentulah di meja utama.Di situ Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk semeja dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

Hadir sama ialah Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh dan Datuk George Seah iaitu tiga dari lima Hakim-Hakim Mahkamah Agung yang dipecat semasa krisis kehakiman pada 1988.

Manakala dua lagi Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh diwakili oleh keluarga masing-masing.

Ini adalah kali pertama mereka hadir dalam satu majlis dengan seorang Perdana Menteri sejak dipecat dari jawatan mereka oleh sebuah tribunal hakim 20 tahun lampau atas alasan melakukan salahlaku kehakiman.

Pemecatan Salleh dan lima lagi hakim dikaitkan dengan keputusan mahkamah mengharamkan UMNO ekoran pemilihan jawatan Presiden UMNO antara Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun1987.

Abdullah yang menunjukkan kesungguhan beliau untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman negara telah melantik Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet selepas pilihanraya umum 8 Mac.Beliau diberi tanggongjawab khusus mencadangkan pembaharuan dalam badan berkenaan.

Kes klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam telah mencetuskan berbagai andaian dan tandatanya mengenai kredibiliti badan kehakiman.



Abdullah telah menyampaikan ucap utama bertajuk bertajuk " Delivering Justice, Renewing Trust" yakni sampaikan keadilan,barui kepercayaan dimana beliau mengumumkan kerajaan akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi mengenal pasti dan mencadangkan nama-nama calon hakim kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata Suruhanjaya itu akan membantu menilai dan menyemak calon dalam cara yang bersistematik serta amanah untuk Perdana Menteri, berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas.

Bagaimanapun, hak perlembagaan Perdana Menteri untuk mengemukakan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong terus kekal, katanya.

Abdullah berkata kerajaan mencadangkan perubahan itu bagi menjadikan proses menamakan calon, pelantikan dan kenaikan pangkat lebih telus serta berperwakilan.

"Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur Suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama.

"Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan," katanya.



Turut hadir di majlis itu ialah Zaid ,Presiden MIC Datuk S Samy Vellu,Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail,Naib Presiden PAS Nashrudin Mat Isa dan Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaajar serta Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.


Sebagai tambahan, Abdullah berkata kerajaan akan memulakan semakan terma perkhidmatan dan ganjaran badan kehakiman.

"Terdapat keperluan mendesak untuk menetapkan gaji dan imbuhan di tahap yang betul bagi memastikan bidang kehakiman dapat menarik serta mengekalkan bakat yang terbaik di negara ini," katanya.

Abdullah berkata perkara ini dan langkah lain yang akan diumumkan apabila tiba masanya, akan membentuk pakej perubahan yang menyeluruh bagi memperkukuhkan kapasiti serta kredibiliti badan kehakiman.

Sekalipun kerajaan menolak cadangan oleh Zaid agar kerajaan memohon maaf ekoran pemecatannya para hakim dalam ucapannya, Abdullah turut membayangkan bahawa kerajaan mengiktiraf sumbangan Salleh,Azmi, Eusoffe, Wan Hamzah, Wan Suleiman dan Seah.

Abdullah berkata sebagai gantirugi kepada hakim-hakim berkenaan, kerajaan memutuskan untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada mereka.

"Tuan-tuan, saya tidak membuat anggapan untuk menyamakan sumbangan, penderitaan dan kehilangan dengan sekadar matawang, tetapi saya harap tuan-tuan dapat menerimanya sebagai satu sumbangan tulus ikhlas bagi memperbaiki apa yang telahpun berlaku," kata beliau.



Abdullah berkata bagi kebanyakan orang, peristiwa pada 1988 merupakan satu pergolakan dalam sistem kehakiman negara memandangkan banyak yang mempertikaikan kesahan dan prinsip moral prosiding yang berkaitan.

"Bagi saya, secara peribadi, saya merasakan ia adalah tempoh krisis yang negara tidak akan kembali pulih sepenuhnya. Sekali lagi, tuan-tuan dan puan-puan, ayuh kita mara ke hadapan.

Saya tidak fikir bahawa meninjau semula keputusan yang lepas adalah tindakan yang bijak atau membantu memandangkan ia hanya akan memanjangkan kesan krisis itu -- sesuatu yang negara kita tidak perlukan.

Rakyat mahukan pergerakan dan kemajuan, bukan persengketaan yang berterusan.

"Oleh itu, katanya, kerajaan ingin mengiktiraf sumbangan keenam-enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka dalam mendukung keadilan dan mengakui penderitaan serta kehilangan yang telahpun mereka tempuhi," katanya.

"Bagi Tan Sri Eusoffe dan Tan Sri Wan Suleiman serta keluarga mereka, saya tahu bahawa sentimen ini dibuat terlalu lambat.

Bagi Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah dan Datuk George Seah, sungguhpun pengakuan ini dibuat 20 tahun terlewat, namun ia dilakukan dengan sepenuh harapan agar sedikit sebanyak penderitaan dan kehilangan itu dapat kembali sembuh," katanya dengan disambut tepukan gemuruh.

Sambil mengakui bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan kepercayaan oang ramai terhadap badan kehakiman negara dan bagi memastikan agar keadilan dilaksanakan secara konsisten, Perdana Menteri berkata apa yang beliau umumkan malam ini merupakan permulaan bagi satu proses yang lebih panjang ke arah perubahan.

"Saya dengan rendah diri ingin meminta sokongan tuan-tuan kepada langkah yang akan diambil ini memandangkan keperluan untuk melakukan perubahan ini mungkin tidak jelas sepenuhnya bagi semua orang.

"Kerajaan telahpun memulakan segala-galanya. Kami telahpun memulakan langkah awal namun penting. Kini terserah kepada semua pihak yang berkenaan -- badan kehakiman, badan peguam, masyarakat madani dan orang awam keseluruhannya -- untuk turut menjalankan peranan masing-masing dalam mempermudahkan perubahan ini," katanya.

Abdullah berkata menjadi harapannya agar "kita dapat memulakan babak baru bagi badan kehakiman Malaysia".

"Menjadi harapan saya bahawa usaha ini akan menjadi sebahagian daripada proses yang lebih besar untuk terus memperkukuhkan institusi demokrasi kita, menyelesaikan langkah demi langkah masalah yang sukar diselesaikan yang menghalang pembinaan negara yang tulen. Marilah kita menulis babak gemilang dan baru ini bersama-sama," katanya.


Salleh yang ditemui para wartawan lepas majlis itu berkata,”Saya tahu saya tidak boleh menang daripada segi undang-undang di hadapan kerajaan terdahulu tetapi doa saya dimakbulkan hari ini kerana saya diberikan kemenangan moral.

"Jadi malam ini semua orang boleh mengatakan yang kemenangan moral kini diberikan kepada saya," kata beliau,

"Saya bersyukur kepada Allah kerana bersifat pengasih dan penyayang kepada saya, saya menunggu selama 20 tahun dan doa saya telahpun dimakbulkan,"ujarnya.



Zaid pula menyifatkan pengumuman Perdana Menteri berhubung penubuhan Suruhanjaya Kehakiman dan pemberian pampasan kepada enam hakim merupakan satu keputusan yang bijak dan berani Beliau mengharapkan suatu perubahan akan berlaku dan hubungan badan kehakiman akan kembali elok semula.

Ditanya samada usaha itu dilakukan beliau, Zaid berkata,"keputusan ini adalah keputusan Perdana Menteri, saya hanya membawanya sahaja."

Beliau juga harap agar keputusan yang dibuat tidak dijadikan isu politik sambil menganggap banyak hal yang berlaku dalam negara telah dipolitikkan.

"Perkara ini sebagai isu hak rakyat dan kalau nak buat isu ianya akan jadi macama-macam," katanya.

Sementara itu Wan Azizah Wan Ismail ketika diminta mengulas pengumuman tersebut berkata,"kehadiran saya pada majlis ini adalah untuk turut memberi sokongan pada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pengumuman penubuhan Suruhanjaya Kehakiman walapun ianya agak terlewat".

Bagaimanapun Wan Azizah berasa kecewa sedikit kerana Perdana Menteri tidak memberi apa-apa respon terhadap tuntutan agar pindaan mengembalikan kuasa badan kehakiman yang telah dipinda pada 1988.

Berhubung dengan pengumuman Perdana Menteri untuk memberi pampas an kepada enam orang hakim pula, Wan Azizah menyambut baik.

"Soal pampasan itu bukan suatu yang penting, apa yang dikesalkan ialah mereka terpaksa melalui keadaan itu selama 20 tahun," ujarnya.

Bernama melaporkan Kit Siang juga mengalu-alukan pembayaran ex-gratia kepada enam hakim berkenaan walaupun beliau menganggap ia tidak mencukupi.

"Kita mahu sebaik-baiknya satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara ini, bukan untuk membalas dendam tetapi untuk mengetahui apa yang berlaku dan kenapa ia berlaku sedemikian," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan keputusan untuk mewujudkan suruhanjaya pelantikan kehakiman itu memandangkan ia merupakan langkah awal ke arah mereformasikan sistem kehakiman di negara ini.

Samy Vellu turut menyambut baik keputusan itu memandangkan ia akan membawa imej yang baik kepada kerajaan dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara.

"Ini sesuatu yang baik untuk kita semua dan orang ramai sudah semestinya mengalu-alukannya," kata beliau.

Sementara itu, Nasharudin Mat Isa berkata penubuhan suruhanjaya tersebut adalah batu loncatan ke arah proses pemulihan badan kehakiman yang dilihat sebagai pincang selepas melalui beberapa 'pencerobohan'.

"Saya secara peribadi berpendapat ia (sepatutnya) sudah lama dilaksanakan tetapi mungkin atas sebab-sebab tertentu, ia hanya diumumkan sekarang. Begitu juga dengan bayaran 'ex gratia' itu.

walaupun hanya dalam bentuk pampasan kewangan tetapi ia adalah satu usaha untuk memulihkan sistem kehakiman negara kita," katanya.

Ambiga Sreevasan pula berkata, pengumuman kedua-dua perkara itu adalah bukti bahawa tiada siapa yang berselindung lagi terhadap apa sebenarnya yang terjadi pada tahun 1988

itu.

Katanya, tiada apa yang perlu dikhuatirkan dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan, sebaliknya ia adalah satu langkah yang amat wajar memandangkan semua pihak akan mendapat perhatian sewajarnya.

"Saya pasti semua pihak akan bersetuju dengan penubuhan ini dan bersedia bekerjasama pada bila-bila masa yang diperlukan. Jika didengar pada tepukan yang diberi tadi, ia begitu lama dan tidak berhenti. Itulah yang saya rasakan," katanya. 17/4/2008

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |