Utusan Online
BANGI 19 April - Malaysia tidak akan mengeksport daging babi ke mana-mana negara sebaliknya penternakan haiwan itu di negara ini hanya untuk keperluan tempatan, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, negara ini tidak mempunyai sebarang cadangan untuk menjadi pengeksport babi.
Malah katanya, pada ketika ini kerajaan dalam proses untuk menutup ladang-ladang babi yang tidak memenuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan.
Justeru menurutnya, ura-ura untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pengeksport babi tidak sepatutnya timbul melainkan tindakan itu diingini oleh kerajaan negeri tertentu.
"Kita sedang dalam proses tutup ladang yang tidak penuhi piawaian, contohnya di Melaka kita sudah tutup.
"(Sebenarnya) memang tidak cukup kawasan untuk dijadikan ladang ternakan bagi bekalan eksport. Juga, tidak ada ketetapan untuk tambah kawasan (ladang) bagi tingkatkan pengeluaran," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Consumer Sales and Distribution (CSD) Quaterly Review-CIMB Bank di Institut Latihan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan sekumpulan ahli perniagaan China baru-baru ini mengemukakan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport daging babi ke republik tersebut.
Ketua Unit Penternakan Babi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kim Hee berkata, cadangan itu dibuat kerana harga daging babi yang ditawarkan di ladang-ladang negara ini cukup kompetitif, malah antara yang termurah di Asia.
Sehubungan itu, beberapa syarikat dari China menyatakan minat untuk bekerjasama dengan penternak babi Malaysia bagi menampung permintaan daging babi yang semakin tinggi di negara itu.
Akhbar The Sun kelmarin memetik laporan Nanyang Siang Pau yang melaporkan Malaysia dalam perancangan mengeksport daging babi ke China buat pertama kalinya.
Kim Hee dalam laporan itu berkata, urusan berhubung hal tersebut dilakukan dengan dua buah syarikat dari China selain usaha untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan.
Beliau dipetik sebagai berkata, jika Malaysia dapat menjadi pengeksport babi ke China, para penternak akan berpeluang memperoleh pendapatan yang baik termasuk dari segi pertukaran wang asing memandangkan pasaran yang besar di negara itu.
China yang mempunyai penduduk lebih 1.2 bilion dilaporkan berhadapan dengan kekurangan bekalan daging babi berikutan permintaan yang semakin tinggi di kalangan penduduknya.
Ekoran taraf hidup yang semakin baik, permintaan daging babi di negara berkenaan dilaporkan meningkat hingga China terpaksa mengimport daging babi dari Thailand, tetapi langkah itu juga dikatakan tidak mencukupi.
Malaysia sebelum ini turut mengeksport daging babi ke Singapura namun ia dihentikan selepas republik itu melarang import daging babi dari Malaysia berikutan penyebaran virus Nipah pada 1998.
Sementara itu di SHAH ALAM Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata negeri itu tidak berminat menjadi pusat pengeksport babi ke China, meskipun perniagaan bera saskan penternakan itu boleh menguntungkan dan membawa pu langan lumayan.
Sebaliknya beliau berkata, China boleh mendapatkan bekalan babi dari tempat lain di seluruh dunia yang banyak menternak haiwan berkenaan.
Menurut beliau, apa yang men jadi keutamaan kerajaan negeri ketika ini ialah membantu menyediakan tapak untuk penternakan berpusat menggunakan kaedah moden kepada penternak babi yang beroperasi secara kecil-kecilan dan berselerakan di negeri ini.
"Kita tidak berminat menjadikan Selangor pusat mengeksport babi, bukan keuntungan (disasarkan), tetapi adalah tanggungjawab sosial bagi kita membenarkan masyarakat berkaitan menternak babi yang berasaskan budaya dan keperluan mereka," katanya.
Mengulas lanjut mengenai hasrat ahli perniagaan China mengimport babi dari Malaysia itu, Abdul Khalid berkata, penterna kan babi menggunakan kaedah moden yang diluluskan kerajaan negeri itu, hanya untuk memenuhi keperluan di Selangor.
0 comments:
Post a Comment