+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 20, 2008

Ibu negara dilanda gegaran

Kosmo Online


SEBUAH jentera bomba dan penyelamat dihantar ke sebuah apartmen di Jalan Pudu Ulu selepas ada kesan gegaran.


KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi di ibu negara dan Melaka dikesan mengalami gegaran berikutan gempa bumi yang melanda Sumatera Utara pada pukul 10.26 malam tadi.

Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia menyebut gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter itu adalah punca kepada beberapa gegaran di sekitar Lembah Klang.

Gempa bumi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang ancaman tsunami.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Yap Kok Seng berkata, gegaran yang berlaku di kawasan Pantai Barat Sumatera itu tidak menjejaskan Malaysia kerana saiz gegaran yang kecil, mengikut kajian jabatan itu.

Katanya, gegaran yang dirasai di beberapa kawasan di Lembah Klang adalah fenomena yang biasa berlaku berikutan pergerakan di bawah tanah setiap kali berlaku gempa bumi.

"Kesan gempa itu turut dirasai di ibu negara kerana lokasi kejadian terletak berhampiran dengan negara kita," katanya.

Sementara itu, salah seorang penghuni di Pangsapuri Cendana dekat Bandar Sri Permaisuri di sini, Zainal Abidin Razali berkata, kejadian itu menyebabkan hampir kesemua penghuni pangsapuri berkenaan panik dan bergegas turun.

Katanya, kesan gegaran itu dapat dirasai dengan begitu jelas berikutan kedudukan unit pangsapuri itu yang terletak di tingkat 15.

"Saya memang rasa unit rumah saya bergoyang dan nampak dengan jelas bagaimana kipas siling saya berhayun dengan kuat kerana gegaran itu.

"Ketika ini boleh dikatakan hampir semua penghuni pangsapuri telah turun kerana bimbang gegaran itu akan berulang," katanya.

Di Bukit Antarabangsa pula, salah seorang penghuni di pangsapuri lima tingkat di kawasan berkenaan, Mohd Fisol Jaafar berkata, gegaran itu dirasai kira-kira 16 saat.

"Pada mulanya saya menyangkakan gegaran itu kerana anak lelaki saya menendang sofa yang kami duduki, tetapi setelah diamati ia bukan satu gegaran 'biasa'," katanya.

Mohd Fisol berkata, beliau mendapat tahu mengenai gempa bumi berkenaan selepas mendengar laporan Jabatan Meteorologi Amerika Syarikat.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, terdapat beberapa laporan mengenai gegaran itu dari sekitar kawasan Sri Hartamas, Cheras dan Loke Yew.

"Gegaran itu dikatakan berlaku selama lebih kurang 15 minit, dan tidak mengakibatkan sebarang kerosakan harta benda atau bangunan," katanya.


ORANG ramai berkumpul di kawasan lapang selepas berlaku gegaran di Bandar Seri Permaisuri malam tadi.


Dalam pada itu, jurucakap di bilik gerakan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) Selangor berkata, pihaknya menerima aduan berhubung gegaran berkenaan di Seksyen 18, Seksyen 26 dan Seksyen 28 dekat Shah Alam.

Tambahnya, kesemua mangsa yang merasa gegaran itu dibenarkan pulang ke rumah selepas pukul 11.50 malam tadi.Bagaimanapun, sebahagian penghuni sebuah apartmen di Jalan udu Ulu keberatan untuk memasuki semula rumah masing-masing kerana takut.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |