+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, June 26, 2008

Bukti wang S'gor masuk akaun PKR

Malaysiakini

Fathi Aris Omar & Muda Mohd Noor | Jun 26, 08 7:23pm

Bekas pegawai kanan menteri besar Selangor didakwa menunjukkan resit dan akaun penerimaan wang derma, sepatutnya untuk kerajaan negeri, yang dimasukkan ke akaun PKR sehingga mencetuskan kontroversi dalam pentadbiran Pakatan Rakyat.

Mohd Yahya Mat Sahri, yang meletakkan jawatannya itu Isnin lepas, dikatakan membuat pendedahan itu dalam mesyuarat perhubungan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

"Beliau (Yahya) juga mengakui membawa wakil PAS dalam mesyuarat (tentang akaun tersebut)," kata beberapa pemimpin parti yang turut hadir kepada Malaysiakini.

selangor 100 days stadium 210608 anwarWang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor, kata sumber-sumber, "dipindahkan kepada akaun PKR negeri kerana Pakatan belum mempunyai akaun tersendiri."

Akaun itu dipercayai wujud sejak kempen pilihanraya umum Mac lalu sebelum parti itu, bersama DAP dan PAS, berjaya merampasnya daripada BN.

Cara PKR mengendalikan wang derma itu dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut.

Menurut menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengakui wujud pemindahan wang tersebut Isnin lalu, jawatankuasa sambutan itu turut disertai oleh Yahya dan beberapa pegawai kerajaan negeri.

Abdul Khalid, yang juga ketua perhubungan PKR negeri, turut hadir bersama Yahya, yang telah melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan negeri Isnin lalu.

Dalam mesyuarat semalam, Anwar meminta semua pihak akur pada keputusan menteri besar menggantung tugas Yahya selama dua bulan mulai Isnin.

Beliau juga dikatakan menegur Yahya yang membangkitkan masalah dalaman kerajaan dan isu parti kepada pihak media – bagaimanapun tidak jelas isu sebenarnya yang dibangkitkan

selangor 100 days stadium 210608 crowd 03Ketua umum PKR juga dikatakan meminta semua pemimpin parti agar tidak mengetengahkan masalah yang membabitkan parti kepada pihak media.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya mesyuarat malam tadi berjalan dengan baik dan dalam suasana ceria," kata sumber-sumber itu.

Menurut mereka lagi, Yahya telah memohon maaf kepada semua yang hadir berhubung tindakannya mendedahkan isu-isu itu kepada media.

Anwar juga dikatakan meminta menteri besar menggantikan pegawai-pegawai tinggi era pentadbiran BN yang masih mengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Sumber-sumber itu berkata, penggantian itu tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelak rasa kurang senang rakyat Selangor.

Mesyuarat selama dua jam itu bermula selepas jam 9 malam di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Turut hadir di mesyuarat itu, wakil-wakil rakyat PKR negeri, ketua-ketua bahagian dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dari negeri itu.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemindahan wang kerajaan itu ke akaun PKR.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |