+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 25, 2008

PKR Selangor: Gelora tak sudah

KLpos

Cetak E-mail
Oleh NURUL AIN HUSSAIN, MSTAR
Rabu, 25 Jun 2008



PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kini sudah mula bergolak hanya kerana isu kepimpinan dan rebutan jawatan?

Berdasarkan perkembangan hari ini, mStar Online difahamkan sudah mula wujud keretakan dalam sokongan kepada kepimpinan PKR Selangor.
"Pihaknya memang ada meminta Khalid meletakkan jawatan itu kerana ia bercanggah dengan jawatan eksekutif sebagai Menteri Besar," dakwa MPT PKR, Dr Badrul Amin Bahron


Sejurus selepas kembali daripada menunaikan umrah petang ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui bekas pegawai petugas-petugas Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Sahri di satu lokasi yang dirahsiakan.

Yahya yang dihubungi lewat petang memberitahu mStar Online, beliau tidak akan menarik balik pendiriannya yang tidak percaya dengan kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Selepas meletakkan jawatan sebagai pegawai petugas khas, saya akan tumpukan jentera parti sahaja.

"Hasil perbincangan saya dengan Anwar petang ini adalah positif," kata beliau sambil menambah, Anwar juga telah mengadakan pertemuan dengan Khalid selepas pertemuan itu.

Yahya yang digantung tugas selama dua bulan meletakkan jawatan melalui suratnya yang telah dikirim melalui faks kepada Khalid semalam.

Sementara itu, di pekarangan pejabat PKR di sini, kira-kira 17 Ketua Bahagian PKR Selangor hadir bagi menyerahkan tuntutan berkaitan rasa tidak puas hati mereka berhubung soal pengagihan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri oleh Khalid.

“Tidak dinafikan bukan hanya masalah pengagihan jawatan yang dipertikaikan, tetapi mereka mahu kebajikan ahli-ahli PKR yang setia dengan parti sejak mula ia ditubuhkan dibela,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr. Badrul Amin Bahron ketika ditemui pemberita.

Badrul yang juga Ketua PKR Bahagian Sabak Bernam memberitahu, selepas pertemuan itu Anwar telah menemui Khalid bagi menyampaikan tuntutan dan hasrat ahli parti peringkat akar umbi.

“Kita cuma mahu hasrat ahli parti yang setia dengan perjuangan dibela... itu sahaja. Berilah mereka peluang untuk memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri daripada memberikan jawatan tersebut kepada golongan profesional semata-mata.”

Tegas Badrul, setiap bahagian telah mencadangkan calon-calon yang dirasakan sesuai untuk jawatan dalam kerajaan negeri.

Malangnya, jelas beliau, hampir 80 peratus senarai calon yang dikemukakan telah ditolak Khalid.

“Perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati kerana Khalid meletakkan syarat hanya golongan profesional dengan kelayakan sekurang-kurangnya diploma dilantik.”

“Ini tidak adil kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan tetapi berjuang atas nama parti sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tuntutan itu termasuk meminta Khalid meletak jawatan sebagai Ketua Perhubungan PKR Selangor, beliau memberitahu, pihaknya memang ada meminta Khalid meletakkan jawatan itu kerana ia bercanggah dengan jawatan eksekutif sebagai Menteri Besar.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |