+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, June 22, 2008

Tidak percaya PM: SAPP masih yakin, siapa pula gandingan?

Mstar Online

22-06-2008 08:44:47 PM
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD MUTALIB

ABDULLAH Ahmad Badawi menyampaikan taklimat mengenai Pengstrukturan Semula Subsidi kepada Anggota Parlimen Barisan Nasional di Auditorium Perdana Angkasapuri di Kuala Lumpur. Turut kelihatan (dari kiri) Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A. Aziz; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor. Esok beliau dijadual menemui ahli-ahli Parlimen pada sesi pramajlis Parlimen. fotoBERNAMA

(Mutakhir) PETALING JAYA: Kurang 12 jam lagi Parlimen akan memulakan midang kedua penggal pertama selepas pilihan raya umum ke-12.

Sesi pertama yang berakhir tiga minggu lalu - yang pertama selepas pilihan raya umum - tidak sepanas diharapkan kecuali kejadian kecam-mengecam antara satu sama lain di peringkat awal.

Mungkin rakyat boleh mengharapkan suasana konstruktif berbeza kali ini apabila ahli-ahli Parlimen melangkah ke Dewan Rakyat pagi esok.

Gara-gara kerana pendirian Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) Jumaat lalu, yang telah bersetuju supaya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikemukakan di Dewan Rakyat, esok. Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan hala tuju parti tersebut ekoran kenyataan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee Rabu lalu bahawa parti itu telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah.

Khamis lalu, Dewan Tertinggi BN yang mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur membuat keputusan tidak akan mengambil tindakan sehingga mendapat kepastian sama ada kritikan oleh Yong itu adalah pendirian parti atau bersifat peribadi.

Orang kepercayaan Yong

Yong bukan anggota Dewan Rakyat. Sebaliknya beliau meletakkan harapan ke atas dua orang kepercayaannya - Ahli Parlimen Sepanggar dan Tawau.

Justeru, sejauh mana gerak-geri Yong akan menjadi kenyataan esok? Sejauh mana Yong dan SAPP benar-benar mahu memastikan usaha pihaknya berjaya esok?

Ataupun Yong dan SAPP akan bertindak demikian esok untuk membuka laluan ia disingkirkan daripada BN? Berdasarkan perkembangan petang ini, nampaknya tiada usul undi tidak percaya akan dibawa ke Parlimen.

Pagi tadi, Abdullah menyampaikan taklimat khas mengenai penstrukturan subsidi kepada ahli-ahli Parlimen BN d Angkasapuri.

Pagi esok, kira-kira dua jam sebelum sidang Dewan Rakyat bermula, Abdullah dijangka menemui wakil rakyat BN sekali lagi menerusi mesyuarat pramajlis.

Taklimat Abdullah

Selepas taklimat pagi tadi, Abdullah berkata, kerajaan akan membawa satu usul yang berhubung kait dengan isu kenaikan harga minyak dan barangan serta langkah untuk menanganinya. Ia dibawa oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad sebaik selesai sesi soal jawab selama 90 minit.

"Saya tidak mahu beritahu apakah bentuk usul itu kerana ini hanya akan dibacakan esok apabila tiba masanya," kata beliau.

Yong bukan Ahli Parlimen. Sebaliknya menurut beliau, dua Ahli Parlimen SAPP akan membawa usul berkenaan.

Jika berbuat demikian mereka akan berhadapan dengan tindakan disiplin. Menegaskan perkara itu kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apa jua tindakan kedua-dua mereka, jika ia melanggar kod etika disiplin BN, ini akan menyebabkan mereka dihukum kerana melanggar disiplin.

"Secara teknikal mereka tidak boleh (mengemukakan usul) kerana kuasa itu terletak pada Speaker. Ia mungkin tidak berlaku.

"Tetapi apa pun, sebarang cubaan di Parlimen boleh dianggap sebagai melanggar disiplin BN, oleh itu tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mereka... ini semua bergantung kepada tindakan mereka," kata Najib yang juga Ketua Whip BN.

Perisytiharan penduduk Sabah

Dua Ahli Parlimen itu ialah Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.
Majlis Tertinggi SAPP juga menggariskan lapan "perisytiharan penduduk Sabah" bagi membawa perubahan dalam negara ke arah mewujudkan satu kerajaan beramanah dan satu masyarakat yang adil, harmoni dan progresif. Lapan perisytiharan itu ialah:

* Kerajaan berasaskan kepada tadbir urus yang baik, masyarakat madani dan politik bukan perkauman.
* Sabah harus mempunyai autonomi politik, yang kerajaannya dibentuk dan diuruskan oleh penduduk Sabah.
* Sabah dan negeri lain yang mengeluarkan minyak berhak mendapat 20 peratus royalti petroleum.
* Wilayah Persekutuan Labuan dikembalikan kepada Sabah dan diuruskan sebagai satu wilayah khas.
* Undang-undang pusat yang tidak adil kepada Sabah, dan jabatan persekutuan yang tidak membawa manfaat kepada negeri itu, dikaji semula.
* Sabah diberikan penyertaan adil dan saksama dalam pentadbiran persekutuan, perkhidmatan awam dan sektor swasta, dan jabatan persekutuan di Sabah, sebolehnya diketuai rakyat tempatan.
* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri menyediakan sumber, kesungguhan dan kepimpinan dalam menyelesaikan masalah kehadiran pendatang tanpa izin dengan cara yang tegas tetapi berperikemanusiaan, dengan tumpuan kepada konsep serantau dan perkongsian bijak.
* Kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama membetulkan ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi dan sosial melibatkan Sabah dan negeri lain.

Speaker Dewan Rakyat

Ketika ditanya sama ada merasakan akan ada kelainan kali ini dalam persekitaran di Dewan Rakyat, Speakernya, Pandikar Amin Mulia hanya: "Saya rasa biasa saja."

Parlimen sehingga Jumaat lalu tidak menerima sebarang notis daripada mana-mana parti berkaitan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Mana-mana parti boleh mengemukakan permohonan untuk membentangkan usul berdasarkan kepada dua peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat iaitu Peruntukan 27 (1) untuk satu usul bagi dibentangkan oleh mana-mana anggota mengenai sebarang perkara tertentu tetapi anggota mesti memberi notis dalam masa 14 hari. Peruntukan kedua ialah 18 (1), di mana Dewan membahaskan satu usul oleh sebarang anggota yang mempunyai kepentingan awam dan hendaklah dibuat segera kerana ia untuk disegerakan.

Tidak seperti 27 (1) di mana notis 14 hari diperlukan, 18 (1) hanya memerlukan notis 48 jam atau dua hari bekerja penuh.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga menyatakan bahawa tiada usul berkaitan undi tidak percaya sehingga Jumaat lalu.

Bagaimanapun di Dewan Rakyat anggotanya boleh bercakap apa sahaja. "Ia perkara biasa," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mengandaikan usul kenaikan harga barang boleh digunakan sebagai satu kesempatan untuk menjadikanya sebagai usul tidak percaya.

SAPP walaupun masih dalam keanggotaan BN tetapi ia sudah dilihat sebagai parti 'luaran' ekoran pendiriannya.

Oleh itu, dalam keadaan ini sejauh mana SAPP boleh mengharapkan sokongan parti BN yang lain dan Pakatan Rakyat ataupun sejauh mana ia akan digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk kepentingan politik.

Setakat ini hanya SAPP satu-satunya parti secara terbuka menyatakan pendiriannya dalam isu undi tidak percaya.

Hari ini, Yong mendedahkan ada satu lagi parti yang akan menyokongnya. Siapa gandingan SAPP?


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |