+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 9, 2008

Kes cabul di Johor serius


walaupun tahu mencabul adalah perbuatan salah, pelaku tetap melakukannya bagi memenuhi tuntutan nafsu yang gagal dikawal.


JOHOR BAHRU 8 Julai - Johor mencatatkan kes cabul ketiga tertinggi iaitu sebanyak 103 kes atau 9.59 peratus daripada keseluruhan 1,073 kes yang dilaporkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, secara purata lebih daripada satu kes cabul dilaporkan di negeri ini dalam tempoh dua hari.

Bagaimanapun, statistik PDRM juga menunjukkan bilangan kes itu menunjukkan penurunan berbanding sepanjang 2006 dengan negeri itu mencatatkan kes cabul kedua tertinggi iaitu sebanyak 262 daripada keseluruhan 1,972 kes yang dilaporkan.

Adakah statistik itu menggambarkan keadaan sebenar jenayah cabul di Johor mahupun seluruh negara dan kenapa ia berlaku? Bagi mendapatkan jawapan itu, wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini menghubungi pakar perunding psikologi di Hospital Pantai Indah Kuala Lumpur, Dr. Leong Huey Mei.

Menurut Huey Mei, bilangan kes cabul sebenar yang berlaku mungkin lebih tinggi berbanding yang dilaporkan kerana kebanyakan mangsa atau keluarga mereka berasa malu untuk membuat laporan polis.

''Sepatutnya, mangsa tidak perlu berasa malu kerana mereka tidak bersalah, malah dengan tidak melaporkan kepada polis, maka ia hanya akan menggalakkan pencabul meneruskan jenayah itu.

''Lebih malang, ada yang menyatakan cabul tidak menyebabkan kesan besar kepada mangsa seperti yang berlaku kepada mangsa rogol, jadi tidak perlu laporan dibuat.

''Ini tidak benar kerana mangsa turut berasa trauma dan terhina yang boleh menyebabkan gangguan pada emosi mangsa sehingga menjejaskan kerja dan kehidupan hariannya,'' katanya.

Huey Mei berkata, pencabul boleh disifatkan sebagai manusia yang tidak normal memandangkan mereka mengetahui perbuatan yang dilakukan adalah salah, namun tetap melakukannya bagi memenuhi tuntutan nafsu yang gagal dikawal.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila perkembangan teknologi pada masa ini turut menyumbang kepada kes cabul kerana bahan lucah mudah diperoleh daripada Internet.

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi sesetengah golongan pencabul juga tidak mempunyai kemahiran sosial sehingga menyebabkan mereka tidak dapat bersosial dengan rakan dewasa yang lain, sebaliknya memilih untuk mendampingi golongan kanak-kanak untuk melepaskan nafsu.

''Kanak-kanak adalah sasaran senang dan mudah percaya kepada orang dewasa. Sehubungan itu, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak dan mengingatkan mereka supaya berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali,'' katanya.

Tambahnya, jenayah cabul juga dilakukan oleh mereka yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kedudukan, malah menggunakan status mereka itu untuk melakukan pencabulan terhadap pekerja bawahannya.

Kes itu, katanya lagi, melibatkan masalah salah guna kuasa dan kebanyakan mangsa tidak melaporkan jenayah terbabit kerana khuatir diambil tindakan yang boleh menjejaskan 'periuk nasi', sedangkan terdapat undang-undang yang dapat membela mangsa.

Dalam pada itu, sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, statistik PDRM menunjukkan laporan kes cabul tertinggi dicatatkan di Selangor iaitu sebanyak 226 kes diikuti Kuala Lumpur (134), Johor, Perak (103) dan Pulau Pinang (79).

Kedah mencatatkan bilangan laporan kes cabul sebanyak 68 kes, Pahang (61), Negeri Sembilan (60), Sabah (59), Melaka (56), Sarawak (49), Kelantan (35), Terengganu (30) dan Perlis (10).

Berdasarkan statistik itu, secara purata antara lima hingga enam kes cabul dilaporkan setiap hari di seluruh negara.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |