+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, July 21, 2008

Loh ditumbuk: Muhammad sifatkan PKR tidak bijak, MB anggap kerenah anak muda

Mstar Online

19-07-2008 03:36:10 PM

SHAH ALAM: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, isu Anggota Parlimen Kelana Jaya yang dikatakan ditumbuk oleh seorang pembantu kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad mencerminkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bijaksana dalam menangani isu yang menyentuh agama.

"Kita (Barisan Nasional) biasanya konsensus berunding antara sesama kita tentang hak masing-masing di mana masjid di mana surau di mana gereja kita benarkan semua.

"Nampak sesama dia sudah wujud pertelingkahan sebegitu sampai (ke tahap) fizikal ahli parlimennya ditumbuk ini menunjukkan mereka tidak berjaya mengawal keadaan," katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu selepas merasmikan Seminar Sehari "Islam Hadhari atau Hadharah Islamiah ?" anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.

Semalam, anggota Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo Burne dilaporkan ditumbuk oleh pembantu kepada anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad selepas beliau mempersoalkan pembinaan surau Al Istiqamah semasa upacara pecah tanah pembinaan surau itu di Fasa Kedua Desa Mentari di Kelana Jaya.

Sebelum Loh ditumbuk telah berlaku kekecohan di mana sekumpulan penduduk membantah pembinaan surau itu yang didakwa tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, nampaknya Pakatan Rakyat retak kerana beberapa peristiwa yang memperlihatkan keretakan itu seperti ada yang tidak diajak berunding, ada yang terasa terpinggir dan ada yang cuba menguasai.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kejadian itu adalah hal anak-anak muda PKR.

Beliau berkata, kes itu telah selesai apabila kedua-dua pihak telah bermaafan sesamanya akibat kejadian yang berpunca daripada salah faham apabila mereka cuba menyatakan pandangan masing-masing yang mewakili penduduk setempat.

"Ia lebih kepada isu dalaman, biasalah anak-anak muda ghairah untuk bawa pendapat masyarakat cuma mungkin cara itu yang tidak kena," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2008 anjuran Jabatan Mufti Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu juga akan dirujuk kepada Ketua Bahagian PKR terbabit iaitu, Syed Shahir Syed Mohamud bagi membincangkan tindakan selanjutnya kerana ia hanya membabitkan isu di bahagian berkenaan.

Perbezaan pendapat itu perkara biasa dan berlaku di mana-mana, cuma cara untuk menyatakan perbezaan pendapat itu perlu mengikut saluran yang betul agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini, katanya. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |