KUALA LUMPUR 19 Julai - Parti Gerakan mencadangkan supaya kerajaan bekerjasama dengan badan siasatan bebas antarabangsa bagi mendapat keyakinan rakyat berhubung pengendalian kes dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemangku Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, badan antarabangsa itu juga perlu merangkumi pakar dalam setiap bidang perubatan agar persepsi meragukan rakyat yang mungkin timbul semasa prosedur siasatan dapat dielakkan.
''Kita cadangkan kerajaan bekerjasama badan bebas ini. Kita mahu semua keraguan rakyat kepada mana-mana prosedur siasatan terjawab.
''Badan siasatan ini perlu dianggotai semua pakar dalam bidang masing-masing. Ia juga perlu bebas supaya tiada pihak boleh mempertikaikan keputusan mereka nanti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.
Anwar kini berdepan dengan dakwaan oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, yang dia diliwat oleh bekas majikannya itu.
Tambah Tsu Koon, cadangan itu dilihat perlu pada masa media antarabangsa sudah mula melihat isu bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang boleh melemahkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan negara sedia ada.
Katanya, cadangan itu dibuat bukan untuk mempertikaikan kemampuan kerajaan namun kepakaran antarabangsa dilihat cara dan bukti terbaik yang menyakinkan rakyat kepada situasi sebenar yang sedang berlaku.
0 comments:
Post a Comment