+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, August 7, 2008

Liwat: Abdullah nafi dakwaan PKR

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Aug 6, 08 3:22pm

Perdana menteri menafikan terlibat mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah atas pertuduhan liwat untuk mengalihkan masalah negara yang dihadapinya seperti tuduhan penasihat PKR hari ini.

"Kenapa harus saya mengalih pandangan rakyat tentang kelemahan kerajaan? Masalah kerajaan adalah besar.

"Kes ini bukan untuk mengalih perhatian rakyat. Saya tidak berfikir begitu," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur petang tadi.

"Bagaimana mungkin saya mendesak beliau dituduh? Jika tidak ada bukti (terhadap Anwar), polis tidak bodoh untuk mendakwanya semata-mata seseorang meminta 'dakwa'. Saya bukan yang menyuruhnya (Anwar didakwa)."

Abdullah menambah, sekiranya polis mempunyai cukup bukti untuk menyeret Anwar ke mahkamah, maka pasukan itu wajar berbuat demikian.

"Sekiranya tidak (ada bukti), gugurkan (kes itu)," katanya, sambil menambah prosedur itu ditetapkan oleh polis dan Jabatan Peguam Negara.

Beliau juga menolak andaian Anwar bahawa pertuduhan terhadapnya bertujuan menghalangnya bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh antara 16 hingga 26 Ogos ini.

umno special briefing abdullah ahmad badawi announce resignation date 100708 05Abdullah berkata, beliau tidak terlibat menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi - yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Tambahnya, orang ramai juga wajar mempertimbangkan hak pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang juga bekas pembantu Anwar, untuk menuntut keadilan.

"Anda kelihatannya hanya melihat Anwar sahaja yang lebih penting. Isunya berkaitan undang-undang. Dia (pengadu) rasa dia berhak mendapat keadilan, oleh itu dia membuat laporan (polis pada 28 Jun)," kata perdana menteri lagi.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN selama dua jam petang tadi memutuskan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu, kata Abdullah.

Bagaimanapun, katanya, BN tidak menentukan calon yang bakal bersaing dengan Anwar di kerusi tradisinya itu.

"BN akan meletakkan seorang calon di Permatang Pauh. Namanya belum ditentukan siapa, tapi kita akan bincang dengan pihak bahagian Permatang Pauh.

"Ini adalah kerusi untuk calon BN daripada Umno bertanding," kata Abdullah, yang juga pengerusi BN.

Mengulas dakwaan penyertaan BN dalam pilihanraya kecil ini akan menghabiskan duit rakyat, beliau berkata:

"Apa pasal pulak. Ini pilihanraya. Kita kena menghadapi pilihanraya, tentu kena belanja sedikit. Itu bukan duit rakyat, (itu) duit parti."

Abdullah menjelaskan tidak ada sebab BN memulaukan pilihanraya kecil tersebut.

"Kita tak dengar orang-orang Umno kata nak pulau atau orang BN nak pulau.

"Tidak pernah kita tidak mahu bertanding dalam mana-mana pilihanraya kecil yang diadakan. Semuanya kita bertanding," kata Abdullah mengulas andaian BN kurang yakin bertanding untuk menentang Anwar.

Berhubung dengan surat tunjuk sebab yang dikenakan terhadap Parti Maju Sabah (SAPP), Abdullah berkata BN akan memperhalusi jawapan parti tersebut yang diserahkan hujung bulan lalu.

Parti dari Sabah itu diberikan notis tunjuk sebab kenapa tidak boleh dipecat sebagai komponen BN selama 30 hari selepas mengancam untuk mengeluarkan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat.

SAPP, dalam jawapannya akhir bulan lepas, tetap mempertahankan usul tersebut.

najib hilton hotel pc 010808 01Sementara itu, di sidang media yang sama, timbalannya Datuk Seri Najib Razak juga menjelaskan jawatankuasa pengurusan BN telah mengesyorkan kepada dewan tertingginya bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan dalam surat SAPP itu akan dikaji lebih mendalam.

"Dan kalau perlu kita akan jawab perkara-perkara tersebut secara terperinci.

"Dan oleh itu kita akan hanya menghantar ketetapan kita apabila kita telah menjalankan proses mengkaji surat itu secara mendalam dan tentukan jawapannya dengan tepat," katanya.

Najib menambah, BN tidak berniat menangguh mengambil tindakan disiplin terhadap SAPP hari ini.

"Kita perlu jawapan komprehensif dan keputusan mantap atas jawapan yang diberikan oleh SAPP," katanya.

Timbalan pengerusi BN juga menjelaskan bahawa jentera pilihanraya parti itu akan digerakkan untuk memastikan kemenangan calonnya.

"Kita telah mendapat komitmen daripada ketua-ketua kompenen BN, khususnya mereka yang berada di Semenanjung, mereka akan komited untuk menggerakkan jentera masing-masing," katanya.

2 comments:

Unknown said...

Satu lagi tuduhan yang dilemparkan kepada AAB. PAdahal yang telah memporak-porandakan negara kita adalah beliau sendiri iaitu DSAI. Lihat saja pengaruhnya terhadapa RPK mengeluarkan Surat akuan bersumpahnya, diikuti dengan Mr. BAla. Kini Dr. Osman pun hendak buat perkara yang sama (surat akuan bersumpah)seperti mereka? Ini semua hnyalah taktik dan propaganda mereka untuk mmeburukkan nama AAB dan pihak kerajaan pada masa sekarang. Perlakuan mereka ini semua sudah mula dicurigai oleh rakyat.

Unknown said...

memang tertanya jugaklah yang ramai yang ambil kesempatan terhadap keterbukaan Pak Lah.kalau semasa Tun Dr.Mahathir jadi PM,boleh dibilang sesiapa yang mencabar beliau.

tapi kini berlainan pula.

ramai pula yang mahu ambil kesempatan kerana pemerintahan baru dan mereka dapat kesan beberapa kelemahan maka mereka gunakan kelemahan itu untuk kenakan Pak Lah.

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |