+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 8, 2008

Empat lagi struktur tiang MRR2 merekah

Berita Harian

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my


REKAHAN BARU: Gambar kiri menunjukkan rekahan permukaan luar bahan penampal pelindung air, manakala gambar kanan rekahan halus yang dikesan pada permukaan luar tiang 29.

Rekahan baru babit permukaan luar penampal

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang jaring keselamatan pada empat lagi tiang jejambat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) selepas menemui beberapa rekahan halus atau 'hairline crack' pada permukaan penampal struktur berkenaan.

Empat rekahan baru pada tiang 6, 15, 16 dan 29 itu juga tidak sama dengan yang dikenal pasti berlaku pada tiang 28 jejambat berkenaan, yang mendapat liputan meluas media sejak ia ditemui orang ramai pada 3 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Sektor Pakarnya, Ir N Selvanayagam, berkata rekahan baru itu membabitkan permukaan luar penampal dan JKR mengesahkan ia tidak menjejaskan plastik pengukuh bahan gentian karbon (CFRP) serta struktur asas tiang rasuk.

Katanya, siasatan pakar JKR mendapati rekahan itu berlainan dengan yang berlaku pada tiang 28 dan langkah pemasangan jaring keselamatan terbabit dibuat untuk menjamin keselamatan lalu lintas di bawah MRR2 serta memudahkan pihaknya menyiasat lanjut.

"Ia (pemasangan jaring keselamatan) pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerana pihak kita berpendapat akan menimbulkan kecurigaan orang awam namun kita mengambil pendekatan terbuka dan mementingkan keselamatan pengguna laluan ini.

"Ia hanya langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan pengguna kerana sebarang penemuan rekahan walaupun ia halus akan tetap melalui prosedur biasa (memasang jaring keselamatan) dan siasatan lanjut serta pemantauan akan dilakukan," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebulan lalu, akhbar melaporkan MRR2 di laluan yang menghubungkan Kepong dan Selayang ke ibu kota terpaksa ditutup kali ketiga dalam tempoh empat tahun, selepas satu daripada tiangnya dikesan mengalami rekahan.

Khamis lalu, JKR memulakan kerja pemasangan jaring keselamatan di empat lagi tiang itu dan sehingga kini sebanyak lima struktur jejambat itu sudah dipasang dan dibalut jaring hijau sebagai prosedur kerja pembaikan serta siasatan.

Sementara itu, Menteri Kerjaraya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed, berkata kerosakan tiang 28 tidak menjejaskan struktur MRR2 dan beliau memberi jaminan ia selamat digunakan selepas JKR berjaya memasang 'Tie-Frame' dan prategasan sementara, semalam.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |