+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 8, 2008

MRR2 dibuka, dijamin selamat


MOHD. Zin Mohamed (dua dari kiri) diiringi Ketua Pengarah JKR, Prof Ir. Judin Abdul Karim (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah III JKR, Ir. P. Selvanayagam melawat tempat kerja-kerja pembaikan tiang rasuk jejambat MRR2 di Kepong, semalam.


KUALA LUMPUR 7 Sept. - Kerajaan mengesahkan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang kembali dibuka hari ini selamat digunakan dengan jaminan tahap keselamatan keenam-enam lorongnya akan diperiksa setiap hari.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, siasatan yang dilakukan Pasukan Petugas Kementerian Kerja Raya bersama jururunding dari Jerman, Leonhardt, Andre and Partner (LAP) mendapati tiada lagi kerosakan pada struktur tiang jejambat itu.

''MRR2 dibuka semula hari ini. Ia disahkan selamat walaupun 18 batang carbon fibre reinforced plastic (CFRP) prategasan yang dipasang pada tiang 28, putus pada 3 Ogos lalu.

''Kita telah mengkaji reka bentuk jejambat itu untuk mengenal pasti punca dan memastikan rasuk baru mampu menanggung beban jalan serta membandingkan tahap penggunaan pada 2006 dengan semasa berlaku kejadian tempoh hari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat tempat kerja pembaikan tiang 28 MRR2 di Kepong dilakukan, di sini hari ini.

Turut mengiringi Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Prof. Ir. Judin Abdul Karim dan Timbalan Ketua Pengarah III JKR, Ir. P. Selvanayagam.

Awal Ogos lalu, beberapa pemandu melaporkan mereka ternampak batu jatuh dari salah satu rasuk jejambat itu dekat Stesen Komuter Kepong.

Selepas pemeriksaan, keretakan dikesan pada salah satu rasuk tiang jejambat itu.

Tiga daripada 18 batang CFRP prategasan yang dipasang pada struktur itu pula didapati putus secara tiba-tiba.

Jelas Mohd. Zin, hasil siasatan mendapati tiga daripada tiang gentian karbon yang dipasang itu menjadi punca konkrit menanggung lebihan beban tekanan.

''Namun semua pertambahan tekanan itu masih di bawah had yang dibenarkan.

''Ini menunjukkan kerosakan baru-baru ini tidak menjejaskan struktur jejambat berkenaan dan ia kini benar-benar selamat untuk digunakan," ujarnya.

Tambahnya, kajian itu turut dilakukan terhadap 36 tiang jejambat lain dan tiada sebarang kerosakan ketara ditemui.

''LAP juga telah mengambil contoh CFRP yang putus dan dihantar ke Jerman untuk siasatan lanjut mengenai kelemahannya.

''Kita juga minta pembekal bahan ini (tiang gentian karbon) dari Switzerland untuk mengemukakan laporan mengenainya," jelasnya.

Ditanya tentang kos pembaikan struktur tiang jejambat itu, Mohd. Zin berkata, semuanya akan ditanggung kontraktor asal iaitu Bridgex Sdn. Bhd.

''Kontraktor asal akan tanggung semuanya. Ia masih dalam jaminan kontraktor asal sehingga 9 November tahun ini,'' katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |