+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 3, 2008

Keluarga Sharlinie 'bawa hati' ke Dungun

Berita Harian




Peristiwa kehilangan kanak-kanak lima tahun masih dirasai keluarga

KUALA LUMPUR: Bukan kerana putus asa, keluarga Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang sejak Januari lalu, kini berpindah ke kampung bapanya di Dungun, Terengganu.

Kunjungan Bernama ke rumah keluarga kanak-kanak itu di Taman Medan, Petaling Jaya, semalam, hampa apabila diberitahu jiran bahawa keluarga Sharlinie sudah berpindah ke Terengganu Ahad lalu.

Bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussain, 29, ketika dihubungi berkata keputusan untuk berpindah bukan kerana ingin melupakan kisah pahit yang berlaku, sebaliknya untuk mencari kedamaian bagi memulakan kehidupan baru bagi keluarganya.

“Ketibaan Ramadan tahun ini terasa begitu sunyi tanpa kehadiran Sharlinie.

“Justeru kami mengambil keputusan untuk berpindah dan menyambut Ramadan dalam suasana kampung yang aman dan tenteram,” katanya.

Tekanan hidup dan kos sara diri yang tinggi di ibu kota juga antara punca beliau sekeluarga berpindah, katanya yang sedang mencari pekerjaan untuk menyara keluarganya di sana.

Beliau berkata, gelagat Sharlinie ketika bersama ke bazar Ramadan untuk mencari juadah berbuka puasa masih terbayang.

“Ibunya juga masih bersedih dan kedua-dua orang kakaknya kerap bertanya ‘bila Nini nak balik... boleh raya bersama’, dan ini benar-benar menambahkan kepedihan di hati,” katanya.

Mohd Nashar berkata, mereka sekeluarga kini menetap di rumah bapanya dan kedua-dua kakak Sharlinie, Nurul Amirah, 11 dan Sharliena, 8, akan mula bersekolah di sekolah baru di Dungun, hari ini.

“Perpindahan ini mungkin hanya sementara. Kami belum putuskan sama ada mahu menetap terus di sini atau kembali ke Kuala Lumpur,” tambahnya.

Ibu Sharlinie, Suraya Ahmad, 28, berkata sejak hari pertama anaknya hilang, keyakinan untuk menemui anak bongsunya itu tidak pernah luntur.

“Sempena Ramadan ini, kami sekeluarga amat mengharapkan kepulangan Sharlinie.” katanya.

Sharlinie hilang 9 Januari lalu di taman permainan yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka. - Bernama

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |