+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 23, 2008

Pendapat berbeza tambatan ringgit

Utusan Online

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pakar-pakar ekonomi tempatan memberikan pandangan berbeza mengenai cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya sistem tambatan ringgit dilaksanakan semula.

Pengerusi Pusat Dasar Kajian Umum, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, cadangan tersebut tidak praktikal dan realistik untuk dilaksanakan pada masa sekarang kerana perdagangan negara tidak hanya bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) semata-mata.

''Kita perlu mengambil kira konsep 'bakul mata wang' (basket of currency) yang mana terdapat banyak mata wang negara lain di dalam bakul tersebut. Kalau kita tambat ringgit kepada dolar AS, ini akan menimbulkan rasa tidak senang pada negara-negara lain.

''Tambahan pula, jika tambatan dilakukan ia juga boleh mengakibatkan kejatuhan pada mata wang kita sekiranya dolar AS terus jatuh,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir mencadangkan supaya sistem tambatan ringgit dilaksanakan semula bagi mengurangkan impak kejatuhan nilai dolar AS terhadap mata wang negara.

Dr. Mahathir berkata, nilai mata wang AS yang semakin menyusut akhir-akhir ini, akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara.

Pandangan Ramon turut disokong oleh Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jawi yang menyatakan, simpanan negara yang ada sekarang adalah mencukupi.

Beliau menjelaskan, keadaan yang dihadapi pada masa sekarang adalah berbeza dengan krisis kewangan yang dihadapi negara pada 1997 yang mana pada ketika itu simpanan berada di tahap kritikal.

Pada ketika itu, katanya, tambatan ringgit wajar dilakukan bagi mengelakkan ekonomi negara terus merudum.

Mohd. Fauzi berkata, perkara yang wajar dilakukan pada masa sekarang ialah pemantauan terhadap aliran keluar wang negara dan mengukuhkan perdagangan dengan negara selain AS seperti China dan negara-negara ASEAN lain.

Bagaimanapun, pakar ekonomi, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman memberitahu, walaupun negara mempunyai tahap simpanan yang lebih berbanding 1997, keadaan ekonomi negara kini tidaklah sekukuh yang dijangkakan.

Jelasnya, ekonomi sesebuah negara dipengaruhi kestabilan politiknya dan pada masa kini keadaan politik di Malaysia tidak begitu meyakinkan para pelabur luar.

''Keadaan ekonomi negara terikat dengan situasi politik jadi apabila politik tidak stabil ekonomi juga akan terjejas. Sekarang pun kita boleh lihat banyak pelaburan terus asing (FDI) tidak masuk ke negara ini,'' katanya.

''Walaupun ekonomi negara kita kukuh dan kita merupakan sebuah negara yang kecil tetapi kita mempunyai dagangan dengan AS sebanyak 20 peratus.

''Apa sahaja berlaku di AS akan turut memberi kesan terhadap kita dan negara-negara lain. Jadi, lebih baik kita tambat ringgit dengan dolar AS,'' ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim berkata, pandangan dan cadangan bekas Perdana Menteri itu perlu diambil kira kerana ia amat relevan bagi mengelakkan berlakunya sebarang spekulasi wang pada masa hadapan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |