KOTA BHARU, 14 Dis (Hrkh) - Lapan tahun lalu, Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam melarang kakitangan kerajaan negeri terbabit melawat Kelantan, namun beberapa hari lalu tegahan itu tiba-tiba ditarik balik.
Apakah motif tersebut, sedangkan tindakannya sebelum ini jelas bersifat dendam politik. Biar pun larangan itu mengambil masa selama lapan tahun, namun ia seperti tidak pernah diendahkan kakitangan kerajaan Melaka apabila banyak rombongan datang di sini ketika larangan masih berkuatkuasa. Malah, Mohd Ali sendiri keluar masuk kampung di Pasir Mas ketika berlangsung pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada Disember 2005. Bagi Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Ketua Menteri Melaka itu disifatkan sebagai seorang yang hipokrit dan menjadi pengampu besar dalam Umno. "Negeri-negeri lain yang juga diperintah Barisan Nasional tidak pernah melarang kakitangan mereka melawat Kelantan seperti dilakukan Mohd Ali. "Tindakan terbarunya tidak lain lagi kerana mahu menonjolkan diri kononnya sebagai seorang pemimpin yang terbuka bagi melayakkannya dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan," katanya di sini. Baru-baru ini Mohd Ali mengumumkan menarik balik larangan kepada kakitangan kerajaan Melaka daripada melawat Kelantan ketika melancarkan Tahun Melawat Melaka di sini. Abdul Latif berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri tidak nampak Ketua Menteri Melaka itu ikhlas apabila tiba-tiba menarik balik larangan kakitangannya daripada melawat Kelantan. "Sebenarnya keputusannya itu mempunyai hasrat terselindung bagi mencari penyokong di kalangan perwakilan Umno di negeri ini untuk mencapai impiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri," ujarnya. Bagaimanapun beliau menyambut baik tindakan dilakukan Mohd Ali dan mendoakan semoga diberi hidayah oleh Allah Taala supaya kembali ke landasan Islam sebenar. - mj _ |
0 comments:
Post a Comment