+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, December 15, 2008

Perak patut siasat punca kos selenggara kereta tinggi

Berita Harian

Oleh Mohd Idris Sulaiman dan Abu Bakar Al Sidek
bhnews@bharian.com.my


TAJUDDIN sedang mencuba tulisan khat di gerai khat selepas merasmikan program 'Merakyatkan Seni' peringkat Felcra di Sri Iskandar, kelmarin. - Foto Idris Sulaiman

Tindakan kerajaan negeri beli kereta import dibidas

SERI ISKANDAR: Kerajaan Pakatan Rakyat sepatutnya mengaudit dan menyemak dengan teliti untuk mencari punca kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive terlalu tinggi, bukannya terburu-buru membeli kereta mewah baru.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Rahman, berkata pengalamannya sendiri menggunakan kereta nasional itu menunjukkan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive tidak sampai puluhan ribu ringgit.

"Pembelian kereta Toyota Camry 2.4 itu bukti kerajaan negeri Perak dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin tidak cerdik. Bukankah harga kereta itu yang mencecah sehingga RM170,000 sebuah, lebih mahal berbanding Proton Perdana V6 Executive.

"Alasan kononnya kos penyelenggaraan kereta Perdana V6 terlalu mahal juga tidak masuk akal. Mengapa kerajaan negeri tidak periksa secara terperinci mengapa kos itu tinggi.

"Saya juga pakai kereta Perdana V6 tetapi tidak pernah pun habis berpuluh-puluh ribu setahun untuk kos selenggara,” katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Peringkat Felcra 2008 di Felcra Nasaruddin Belia di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Kerajaan Perak meluluskan pembelian sebanyak 16 kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan.

Di KAMPUNG GAJAH, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun, berkata tindakan kerajaan negeri membeli kereta import itu menggambarkan mereka tidak mempunyai semangat kecintaan kepada negara ini.

Beliau berkata, ketika kempen pilihan raya, pemimpin Pakatan Rakyat melaung-laungkan mereka mahu menghidupkan semangat 'Malaysian Malaysia'.

"Tetapi sekarang bila sudah berkuasa, mereka mengetepikan kereta keluaran negara dengan memberi alasan tidak munasabah.

"Ini jelas membuktikan pemimpin Pakatan Rakyat cakap tak serupa bikin dan tidak mempunyai nilai semangat kecintaan kepada negara yang tinggi.

"Kami ingin bertanya apakah jaminan kos baik pulih Toyota Camry 2.4 tidak mahal sedangkan alat gantinya diimport dari luar," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |