Berita Harian
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
BAYI yang ditemui dalam keadaan tali pusatnya terbelit pada leher, manakala sebahagian punggungnya terperosok dalam lubang tandas kini mendapat rawatan di Hospital Jitra. |
CHANGLUN: Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah nasib seorang bayi lelaki yang ditemui masih hidup selepas dibuang dalam lubang tandas awam di pasar basah Perkampungan Tradisi, Lembah Keriang dekat sini, semalam.
Bayi seberat 2.4 kilogram itu ditemui dalam keadaan tali pusatnya terbelit pada leher, manakala sebahagian punggungnya terperosok dalam lubang tandas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan.
Sementara itu, seorang penduduk, Rofidah Md Noor, 45, berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu oleh seorang lelaki berusia 30-an, kira-kira jam 10 pagi.
“Sebaik dimaklumkan, saya bergegas ke tandas dan mengambil bayi itu sebelum membalut badannya dengan surat khabar.
“Ketika ditemui, bayi itu dalam keadaan lemah dan sedang menghisap jari dipercayai lapar, manakala kakinya lebam,” katanya.
Rofidah percaya bayi itu baru dilahirkan berdasarkan kesan darah dalam tandas berkenaan.
Bayi itu dibawa ke Pusat Kesihatan Changlun sebelum dipindahkan ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut.
0 comments:
Post a Comment