+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 26, 2009

PAS: Husam sah cabar Nasharuddin

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | May 25, 09 12:27pm

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa secara rasmi mengesahkan akan cabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan timbalan presiden, kemungkinan besar dalam persaingan sengit tiga penjuru.

Dalam pengumumannya di ibu pejabat parti itu tadi, beliau berkata gandingannya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menolong memajukan lagi parti.

"Saya yakin bahawa gandingan yang mantap boleh membantu Datuk Seri Tuan Guru memimpin PAS terus-menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat Umno sebagai teraju utama negara pada masa akan datang," katanya.

husam musa pas annouce contest of number 2 post 250509 02"Penolakan ke atas Umno adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti pemerintahan daripada hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya
Umno dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia."

Seorang lagi naib presiden Mohamad Sabu juga berminat jawatan nombor dua PAS.

Beliau dijangka mengesahkan bertanding hari ini, tarikh akhir semua calon wajib berbuat demikian menjelang pemilihan parti di muktamar tahunannya di Shah Alam bermula 5 Jun ini.

Ditanya sama ada beliau muktamad menentang Nasharuddin dan Mohamad, atau masih sedia berkompromi, Husam berkata:

"Saya telah ambil masa yang sangat lama untuk buat keputusan ini, dan ini adalah hari terakhir. Jadi saya rasa ini adalah keputusan yang muktamad."

Mengulas hasratnya bertanding berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan yang disarankan oleh Abdul Hadi, Husam berkata:

"Saya tidak mahu masuk kepada tajuk yang boleh mengelirukan. Saya hanya berkata bahawa, apa yang saya tuliskan (kenyataan media) itu bolehlah saudara tafsirkan dengan bentuk positif.

"Iaitu suasana semasa adalah kritikal dan saya tidak ada pilihan, saya meletakkan satu petanda dalam bentuk pertandingan ini."

Ditanya berhubung dakwaan beliau seorang pemimpin liberal, Husam berkata:

"Saya menganggap penyandang jawatan sekarang (Nasharudin) juga liberal tetapi terlalu liberal (condong) kepada Umno adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Pada pendapat saya, PAS perlu berada di tengah, bukan bersikap terbuka kepada Umno atau untuk menyelamatkan Umno."

dr haron din pasSementara itu, Husam juga berkata pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din "bersifat peribadi" dan tidak mewakili keseluruhan pandangan PAS.

"Setahu saya kertas kerja tersebut adalah kertas kerja peribadi beliau. Dalam seminar tersebut, ia tidak diterima sebagai kertas kerja yang diterima bersama.

"Jadi proses itu (mekanisme baru) panjang lagi. Kalau dalam seminar tersebut belum diterima, saya rasa tak payah diulas secara panjang lebar," katanya.

Sabtu lalu, tokoh ulama itu memberi amaran kepada parti agar berwaspada terhadap pemimpin-pemimpin PAS yang ditaja oleh musuh - termasuk oleh Umno atau negara asing - yang mengambil kesempatan dalam pemilihan kali ini.

Beliau kemudian mencadangkan kepada PAS agar mengetatkan mekanisme pemilihan parti bagi menyekat kemaraan pemimpin seumpama itu.

Diminta mengulas lanjut, Husam berkata: "Kalau parti sudah membuat keputusan, perubahan tersebut saya akan patuh. Setakat ini saya tidak tahu ada perubahan ataupun tidak. Kena tanya Datuk sendiri."

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar juga mengesahkan bertanding jawatan naib presiden.

Seramai 16 pemimpin dicalonkan untuk merebut tiga jawatan kanan tersebut.

Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah sebenar mereka yang berminat.

Parti itu akan mengumumkan pemimpin-pemimpin yang ingin bertanding dalam satu sidang akhbar khas, esok.

Pertandingan PAS kali ini disifatkan persaingan dua aliran besar - satu pro-rundingan dengan Umno dan satu lagi pro-kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Nasharuddin - yang terlibat sendiri dalam satu rundingan sulit dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, waktu itu presiden Umno, sejurus selepas pilihanraya umum tahun lalu - dikategorikan dalam kumpulan yang bertentangan dengan Husam.

Exco kerajaan Kelantan itu dikatakan lebih menyenangi idea mengukuhkan kedudukan PAS dalam gabungan pembangkang.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |