Marang daily
Kiriman pada Sunday, March 23 @ 18:10:32 MYT oleh rusila KUALA TERENGGANU, 23 Mac (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh berkata beliau mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan parti berbanding Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kijal, Datuk Ahmad Said berhubung pelantikan sebagai Menteri Besar.
Idris, yang juga ADUN Jerteh, berkata beliau mendapat "perkenan" daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila kedua-dua pemimpin tertinggi itu, menghubunginya Sabtu malam.
"Saya tahu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama-sama saya... saya mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan parti dan juga anggota-anggota Dewan Undangan Negeri serta rakyat... itu yang penting.
"Rakyat menyokong apa yang sedang kita laksanakan," katanya sebagai mengulas kedudukan Ahmad, 51, yang menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di sini, pagi ini.
Ahmad menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua MPPR, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota majlis iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.
Mengulas lanjut, Idris berkata beliau akan mendapatkan nasihat daripada peguam berhubung pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar, sebelum mengambil sebarang tindakan.
"Saya akan melihat implikasi yang dapat ditafsirkan mengikut undang-undang di sebalik apa yang berlaku kerana apa yang saya tahu, saya masih mendapat sokongan daripada 22 ADUN dan rakyat juga tetap bersama saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Pada masa yang sama, Idris berkata pihaknya kini akur dan hormat dengan keputusan MPPR yang melantik Ahmad untuk memegang jawatan utama itu.
Mengenai hubungannya dengan Ahmad, Idris berkata wakil rakyat Kijal itu yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri ketika beliau menjadi Menteri Besar pada penggal lepas, adalah rakan baiknya sejak sekian lama.
Bagaimanapun, kata Idris, beliau terkilan kerana sejak nama Ahmad disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Terengganu, beliau langsung tidak menghubunginya.
Ketika ditanya sama ada isu pelantikan Menteri Besar itu akan menimbulkan konflik antara Umno dan pihak istana, Idris berkata: "Saudara (media) boleh buat tinjauan sendiri kerana saudara sebagai penulis lebih tahu... kita boleh buat andaian sendiri."
Sementara itu, semua Ketua Umno Bahagian di Terengganu kecuali Besut menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata mereka sebulat suara menyokong pemilihan Ahmad kerana percaya beliau mampu menerajui kepimpinan negeri itu.
Selain Tengku Putera selaku Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, turut menyokong pelantikan Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman ialah Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Dungun), Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu).
"Saya tidak dapat menghubungi Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu (Datuk Wan Farid Wan Salleh), tetapi saya percaya beliau juga menyokong pelantikan Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar.
"Kami Ketua-Ketua Umno Bahagian memberi jaminan untuk memastikan beliau (Ahmad) mendapat sokongan daripada anggota-anggota Umno dan berharap rakyat turut memberi sokongan," katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Tengku Putera berpendapat pemilihan Ahmad merupakan penyelesaian yang bijak dilakukan oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) berhubung kemelut pemilihan Menteri Besar Terengganu demi kepentingan rakyat Terengganu.
Beliau percaya anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga akan menyokong pelantikan Ahmad jika mereka mendapat gambaran sebenar berhubung pemilihan wakil rakyat Kijal itu.
"Ada ADUN yang tidak mendapat maklumat (gambaran) sebenar. Kami berharap semua ADUN ini akan bersatu kerana yang lebih penting ialah kepentingan parti bukan individu. Kepimpinan silih berganti," katanya.
Tengku Putera juga menyambut baik usaha yang dilakukan Abdullah Najib dalam usaha untuk menguatkan Barisan Nasional (BN) Terengganu dan merakam penghargaan serta terima kasih kepada Idris dalam memajukan negeri itu ketika menjadi Menteri Besar pada penggal lepas.
Tengku Putera menasihatkan Idris supaya bersabar dan menerima keputusan yang dibuat kerana sebagai anggota parti, beliau sepatutnya boleh bekerja walaupun tanpa jawatan. "Seperti kami yang tidak bertanding (dalam pilihan raya umum lepas), masih boleh bekerja kerana yang penting, kita hendak memastikan BN dan Umno kuat," katanya sambil mengharapkan anggota-anggota Umno di negeri ini supaya tidak cuba menimbulkan masalah berhubung perkara itu.
Pada masa yang sama, beliau berharap para pemimpin Umno di luar negeri itu supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung kemelut itu kerana apa yang diputuskan mengenai pelantikan Ahmad adalah sebagai memenuhi kehendak rakyat negeri itu.
Ketika ditanya bahawa Ahmad bakal dikenakan tindakan jika mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar, Tengku Putera berkata: "Saya percaya, perkara itu tidak akan berlaku."
Semalam, Setiausaha Agung BN dan Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Ahmad boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana mengingkari ketetapan Abdullah selaku Presiden Umno merangkap Pengerusi BN sebelum ini, yang bersetuju dengan pelantikan Idris sebagai Menteri Besar.
-- BERNAMA
Showing posts with label marangdaily. Show all posts
Showing posts with label marangdaily. Show all posts
Sunday, March 23, 2008
Idris Dakwa Dapat Sokongan PM Dan TPM Sebagai Menteri Besar Terengganu
Posted by
Sang Pemantau
at
11:33 PM
0 comments Labels: marangdaily, terengganu, UMNO haprak
Ahmad Said Dilantik Menteri Besar Terengganu
Posted by
Sang Pemantau
at
12:22 AM
Marangdaily
Kiriman pada Saturday, March 22 @ 21:12:38 MYT oleh rusila
Datuk Ahmad Said |
Ahmad Said Dilantik Menteri Besar Terengganu KUALA TERENGGANU, 22 Mac (Bernama) -- Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu selesai hari ini apabila pejabat Sultan Terengganu mengumumkan Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan itu. Menurut kenyataan pejabat Sultan Terengganu hari ini, Ahmad, 51, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Tamu di sini pagi esok. "Mengikut peruntukan Fasal 14 Perenggan (2) (a) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab 2), Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam melaksanakan fungsi bagi pihak Pemangku Raja. "Dengan ini telah memilih untuk melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu," kata kenyataan itu kepada Bernama hari ini. Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu telah berlarutan selama 14 hari selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas. Pelantikan Ahmad ialah bagi menggantikan Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan wakil rakyat Jertih yang menjadi Menteri Besar Terengganu selama satu penggal sejak 2004. Ahmad yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri. Dalam karier politiknya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Terengganu dan exco Pergerakan Pemuda Umno Kebangsaan. Pada pilihan raya umum lepas, Ahmad yang juga anggota Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Terengganu, berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kijal apabila menewaskan calon PAS, Hazri Jusoh dengan majoriti 3,157 undi. Beliau memperoleh 8,169 undi manakala Hazri 5,012 undi. Sebelum menceburi politik pada 1990, Ahmad pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Setiu dan Kemaman. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengetua Pusat Pupuk Semangat Terengganu. Spekulasi mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu bermula ekoran kedudukan Idris untuk mengangkat sumpah jawatan itu tergantung sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lepas. Ini berikutan majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar dan anggota exco kerajaan negeri yang dijadual berlangsung di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguh pada saat-saat akhir. Situasi itu menimbulkan tanda tanya berhubung kedudukan Idris dan beberapa nama disebut-sebut bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar antaranya Ahmad, wakil rakyat Chukai Datuk Mohamed Awang Tera dan anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu Datuk Abdul Rahin Mohd Said. Perkembangan itu menyebabkan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 15 Mac lepas, dipercayai bagi menyatakan sokongan kepada Idris supaya beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar negeri itu. Terengganu yang kekal di bawah BN selepas pilihan raya umum lepas merupakan satu-satunya negeri yang belum mengadakan upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar. Pada pilihan raya umum ke-12 lepas, BN menang 24 daripada 32 kerusi negeri manakala lapan lagi dimenangi PAS. -- BERNAMA |
0 comments Labels: kerajaan BN, marangdaily, mat said, terengganu
Subscribe to:
Posts (Atom)