Berita Harian
Oleh Azman Zakaria, Anwar Hussin, Saufi Hamzah dan Abdul Halim Yusoff
TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Majlis Tertinggi Umno (dari kiri ke kanan), Datuk Noraini Ahmad, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Sri Ali Rustam dan Datuk Seri Rafidah Aziz selepas menghadiri Mesyuarat Tertutup Umno Selangor di Shah Alam, semalam. |
Orang ramai saran pemimpin Umno tumpu perhatian tugas tadbir kerajaan
KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak semalam sependapat bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, yang sebahagian besarnya anggota kerajaan, berhenti menuding jari atas prestasi buruk parti pada pilihan raya umum lalu supaya mereka boleh menumpukan perhatian kepada tugas mentadbir negara.
Mereka juga mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diberi peluang dan waktu secukupnya untuk mengukuhkan semula parti sebelum melaksanakan proses peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
Pada masa sama, mereka juga berpendapat, adalah tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab kepada Abdullah seorang atas kegagalan BN mencatat kemenangan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan lima negeri pada 8 Mac lalu.
Timbalan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh, dalam suratnya kepada Berita Harian, berkata Perdana Menteri tidak sepatutnya dipersalahkan atas prestasi buruk BN pada pilihan raya umum lalu.
"Sepatutnya banyak pihak yang perlu memikul tanggungjawab terbabit termasuk NGO pada peringkat akar umbi. Kita berpendapat apapun kuasa yang ada pada Perdana Menteri dan agensinya tidak dapat mengubah nilai hidup dan sikap masyarakat yang perlu diperbetulkan, selagi ia tidak mendapat kerjasama segenap pihak," katanya.
Semalam, Berita Harian dalam Minda Pengarang yang disiarkan di muka hadapan, menegaskan selepas lima minggu pilihan raya umum 8 Mac lalu, pemimpin BN terutama dari Umno masih lagi saling menuding jari.
Dengan mandat yang diberi untuk kembali memerintah negara � walaupun kurang lapan kerusi daripada majoriti dua pertiga, BN seharusnya sudah mengorak langkah untuk memenuhi segala janji pilihan raya untuk menarik sokongan rakyat lima tahun lagi.
Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, berkata tindakan meminta Perdana Menteri meletak jawatan boleh membawa mewujudkan keadaan tidak stabil dalam ekonomi negara.
"Faktor ketidaktentuan politik perlu diberi perhatian kerana ia antara penentu kejayaan negara untuk mencatat pertumbuhan ekonomi menggalakkan tahun ini," katanya.
Presiden Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia, Norizan Sharif, yakin Perdana Menteri faham perasaan akar umbi dan sudah menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beliau.
Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan, berkata rakyat mesti memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menyusun jentera pentadbiran dan mengatur strategi untuk mendepani pelbagai cabaran bagi memacu pertumbuhan negara.
"Apa yang berlaku pada dan selepas 8 Mac adalah proses demokrasi dan kita mesti menghormati keputusan rakyat. BN tidak kalah dalam pilihan raya umum lalu, justeru mandat yang diberi kepada Abdullah mesti dihormati," katanya.
Pengarah Urusan Yayasan Strategik Sosial, Datuk Dr Denison Jayasooria, berkata tidak sepatutnya timbul desakan supaya Abdullah berundur kerana keputusan pilihan raya umum lalu jelas menunjukkan rakyat masih memberi mandat kepada BN yang dipimpin Perdana Menteri.
"Walaupun mendapat majoriti yang tidak terlalu besar, BN tidak kalah. Semua komponen BN mesti bersatu dan mengelakkan bercakaran secara terbuka hingga menyebabkan rakyat semakin tidak yakin dengan agenda perjuangan BN," katanya.
Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata BN mesti menunaikan janjinya, manakala sistem kuota kelayakan untuk bertanding jawatan tertinggi dalam Umno parti mesti dikurangkan untuk memberi peluang kepada pemimpin menawarkan diri.
"Hapuskan kemelut ini... buka lebih luas untuk peluang pertandingan. Biar ahli menentukan pemimpin yang mereka mahukan," katanya.
0 comments:
Post a Comment