PUTRAJAYA 16 April - Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga beras import di pasaran tempatan menyebabkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu termasuk menaikkan harganya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed yang mengakui kenaikan itu berkata, pada masa ini negara mengimport 700,000 tan metrik beras setahun.
Kata beliau, meskipun Bernas memonopoli pengimportan beras khususnya dari Vietnam dan Thailand namun penetapan harganya masih di bawah kawalan negara pengeluar.
“Beras import kebanyakannya dari Vietnam dan Siam (Thailand)... sekitar 700,000 tan metrik setahun dan ia (harga) sukar dikawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pelan untuk membendung kenaikan harga beras di seluruh negara yang mencatatkan peningkatan mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus sejak Ahad lalu, dipercayai berpunca daripada peningkatan harga beras global.
Tinjauan mendapati beras Super Special 5% Tempatan jenama Jasmine naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit 5 kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80.
Pemantauan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendapati ia berlaku di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad pada sidang akhbar di sini berkata, kerajaan hanya mengawal harga beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur.
‘‘Pihak penguat kuasa kementerian saya telah membuat siasatan dan pemeriksaan di seluruh negara dan mengesahkan memang berlaku kenaikan harga beras.
“Tetapi tindakan tidak boleh diambil kerana ia melibatkan beras import.
‘‘Ia bukan barang kawalan tetapi jika berlaku kenaikan harga beras tempatan, orang ramai diminta buat laporan segera,” katanya.
Ditanya sama ada bekalan beras mencukupi untuk rakyat dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan suasana panik, beliau berkata: ‘‘Insya-Allah, insya-Allah.”
Beliau bagaimanapun yakin kenaikan harga beras import hanya akan mendorong permintaan orang ramai terhadap beras tempatan sehingga boleh mencapai 50 peratus berbanding 30 peratus sekarang.
Harga beras dunia kini berada pada paras AS$$780 (RM2,464) setan metrik berbanding AS$360 (RM1,137) setan metrik pada akhir tahun lalu.
Harga tersebut dijangka meningkat antara AS$1,000 (RM3,160) hingga AS$1,200 (RM3,792) setan metrik dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan dan masalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa singkat.
Ahad lalu, Mustapa berkata, kerajaan akan menambah stok beras negara yang kini sebanyak 600,000 tan metrik kerana ia hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja.
0 comments:
Post a Comment