+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 17, 2008

PAS anjur "Perhimpunan Pekerja 2008" sempena 1 Mei

Harakahdaily

Intan Abdullah

Wed | Apr 16, 08 | 2:24:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 16 April (Hrkh) - Menteri-menteri Besar Kerajaan Pakatan Rakyat dijangka akan menyampaikan visi dan perancangan rakyat kepada pekerja pada Perhimpunan Pekerja 2008 dan Wacana Kebangsaan ke-3 PAS Pusat.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, keliam-lima ketua kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk menjayakan program sambutan pesta rakyat sempena Hari Pekerja yang jatuh pada 1 Mei akan datang.

"Mereka akan mendedahkan polisi dan perancangan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat melalui gerak kerja sistematik oleh kerajaan-kerajaan baru setelah mendapat sokongan dan mandat rakyat pada pilihan raya umum lalu," katanya.

tegasnya, angin perubahan yang ditunjukkan rakyat berlaku akibat kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak mesra pekerja selepas tidak mengendahkan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan.

"Pada keseluruhannya, para pekerja di negara ini tidak mendapat perhatian kerajaan apabila tuntutan mereka untuk mendapat gaji minima dan COLA dinafikan mentah-mentah dengan sombong oleh kerajaan yang memaksa Kongres Kesatuan Pekerja Kebangsaan (MTUC) berpiket," ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Bahkan ujarnya, peneroka bandar atau penghuni kawasan perkampungan setinggan dianggap sebagai sampah oleh kerajaan.

"Rakyat sepatutnya disantuni, diperbaiki nasib mereka dalam keadaan negara sedang meningkat dari sudut kemajuannya," katanya.

Justeru, kata Anuar lagi, PAS dengan kerjasama parti-parti Pakatan Rakyat akan menganjurkan Perhimpunan Pekerja 2008 dan Wacana Kebangsaan ke-3 PAS Pusat di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam.

Ia akan dimulai dengan pidato yang akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Selangor, Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrishnan pada 3 Mei jam 9 malam.

"Kemuncaknya adalah Wacana Kebangsaan yang akan menampilkan Menteri-menteri Besar Kerajaan Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah pada keesokan harinya, 4 Mei iaitu sepanjang hari," ujarnya lagi.

Menurutnya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah bersetuju untuk menjadi penaung bersama program tersebut selain Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Antara yang turut dijemput adalah kesemua Ahli Parlimen PAS, KeADILan, DAP termasuk BN, juga pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang meliputi kesemua sayap pemuda, wanita, muslimat dan ulama'.

Seluruh kesatuan pekerja, badan-badan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin pelajar dan aktivis pekerja juga diundang untuk memeriahkan sambutan hari pekerja ini.

"Malah kita juga menjemput Presiden MTUC, Syed Syahir Mohamad," katanya lagi.

Dengan tema 'Memperkasakan Kaum Pekerja' pihak penganjur mensasarkan kehadiran seramai 15,000 orang dengan harapan pihak Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga akan turut serta.

Jelasnya, penyertaan kerajaan-kerajaan pakatan rakyat dalam perayaan ini adalah untuk memperlihatkan sikap mereka yang mesra kepada rakyat.

"Bahkan dalam program ini, kita menyediakan ruang yang terbuka kepada pekerja-pekerja untuk bebas menyampaikan pandangan untuk berinteraksi secara terus dengan pihak pemerintah.

"Konsep perbincangan kita adalah bersifat dua hala," ujarnya.

Sungguhpun begitu, pada 2 April lalu, Cuepacs mengumumkan akan memulaukan sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia pada 3 Mei dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei ini jika kerajaan gagal memenuhi lima permintaannya.

Permintaan itu antara lain, tuntutan sagu hati RM2,000 untuk kira-kira 1.2 juta kakitangan kerajaan.

Dalam perkembangan terbaru, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan turut menyertai Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memulaukan sambutan Hari Pekerja. - mns

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |