+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 17, 2008

MCA: Hentikan projek 'makan atas angin'

Malaysiakini

Apr 17, 08 2:01pm

Seorang anggota Dewan Negara hari ini menggesa kerajaan menghentikan pembahagian projek-projek berdasarkan amalan 'makan atas angin' kepada segelintir kontraktor kelas F.

Senator Datuk Lee Sing Chooi berkata jika projek besar dan koridor ekonomi gagal atau disalah urus, rakyat tidak akan mendapat manfaatnya.

"Jadi penting bagi kerajaan memastikan ia tidak melayan orang berhasrat mencari makan atas angin," katanya.

Beliau mengulas kenyataan menteri kerja raya Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed bahawa 10 peratus daripada semua projek berharga lebih RM10 juta bawah kementeriannya akan diagihkan kepada kontraktor Kelas F.

Kira-kira 17,000 kontraktor kelas itu sebelum dasar baru ini hanya berpeluang mendapat kerja dalam sesuatu projek bernilai bawah RM200,000.

Mohd Zin menambah, kementerian itu dalam proses mengeluarkan 24 surat 'setuju terima' yang melibatkan projek RM2.2 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM220 juta diperuntukkan kepada kira-kira 1,000 syarikat kontraktor kelas F.

Lee, yang juga ketua biro pendidikan MCA, berkata menteri kewangan sedar 30 peratus pendapatan negara datangnya daripada hasil gas dan minyak, manakala pengerusi Petronas Tan Sri Hassan Merican pula menyatakan Malaysia akan menjadi negara pengimport bersih petroleum pada 2010.

"Maka, sangat penting semua wang untuk pembangunan dan projek dibelanjakan dengan cekap - ia harus digunakan untuk membina keupayaan menjana pertumbuhan ekonomi dan daya saing.

"Jika sumber-sumber dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan koridor ekonomi digunakan untuk membiayai amalan 'makan atas angin', Malaysia tidak berpeluang menggunakan sebaiknya wang minyak demi pembangunan kerana tidak lama lagi kita (Malaysia) akan menjadi negara pengimport bersih petroleum," katanya.

Dalam media hari ini, Mohd Zin berkata jumlah keseluruhan kontrak RM1.3 bilion di tangan 12 kontraktor utama yang kemudian akan mengagihkannya kepada 572 kontraktor kelas F dengan nilai RM131 juta.

Daripada jumlah RM131 juta untuk kelas F, Terengganu mendapat RM70.6 juta, Sabah (RM37 juta), Selangor (RM12.3 juta), Negeri Sembilan (RM5.23 juta), Kuala Lumpur (RM4.02 juta), Kelantan (RM2.04 juta) dan Perak (RM1.9 juta).

Kementeriannya akan turut memantau pembayaran kepada kontraktor kelas bawah itu daripada kontraktor utama melalui satu mekanisme.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |