+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 17, 2008

Industri padi dan beras negara perlu anjakan dan lonjakan

Mstar Online

16-04-2008 10:24:36 AM

KUALA LUMPUR: Setakat ini kita mungkin tidak perlu beratur untuk membeli beras tetapi ini tidak bermakna kita perlu menunggu timbul krisis untuk bertindak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad memberi jaminan negara mempunyai cukup bekalan beras negara walaupun berlaku kekurangan bekalan bahan makanan tersebut di pasaran dunia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed turut meyakinkan orang ramai supaya tidak panik kerana bekalan beras negara mampu menampung keperluan lebih tiga bulan.

Syarikat Padi dan Beras Nasional (Bernas) dilaporkan masih mempunyai 600,000 tan metrik beras dan padi untuk diproses. Bernas juga dilaporkan sudah mengesahkan pengimportan 600,000 hingga 700,000 metrik tan beras dari Thailand dan Vietnam.

Harga beras di pasaran global dilaporkan media asing melonjak hingga mencecah AS$700 (kira-kira RM2,240) satu tan, meningkat tiga kali ganda sejak tempoh lima tahun lalu.

Memandangkan negara kita masih bergantung kepada import beras, sebarang kenaikan sudah pasti akan memberi impak kepada harga pembelian bahan makanan ruji tersebut, meskipun mungkin bahang kenaikan tidak akan dirasai dalam tempoh terdekat ini.

Tidak wajar

Malaysia dilaporkan mengimport lebih 30 peratus keperluan beras negara. Ini adalah kerana tahap sara diri kita ialah 70 peratus.

Dr Amin Mahir Abdullah, Ketua Laboratori Dasar Perniagaantani dan Pengurusan, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM), Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat keadaan ini sebagai tidak wajar memandangkan Malaysia masih banyak sumber seperti tanah.

"Pada tahun 1960an dan 1970an, pihak kerajaan memang menyasarkan sara diri penuh dengan pelaburan yang besar membina infrastruktur seperti parit dan saliran.

"Kerja-kerja penyelidikan juga dipertingkatkan dalam membangunkan benih padi yang berhasil tinggi, tahan penyakit dan mampu ditanam dari sekali setahun kepada dua kali setahun," jelas beliau kepada Bernama.

Malaysia juga, tambahnya, pernah mencapai 90 peratus tahap sara diri pada tahun 1970an kerana pembangunan industri padi dan beras yang fokus ketika itu berjaya menyasarkan tahap sara diri penuh.

Arus perubahan

Perubahan struktur ekonomi negara daripada berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan industri yang bermula dalam tahun 1980an telah banyak mengubah pola pertanian negara khususnya industri padi dan beras.

Perubahan tersebut telah mewujudkan persaingan sumber seperti tenaga buruh, tanah dan air di mana menurut Dr Amin Mahir, industri padi "telah tewas".

Jelasnya, banyak tanah pertanian telah ditukar kepada penggunaan industri dan perumahan.

"Kerancakan pembangunan sektor perindustrian dan perumahan telah memperlahankan pertumbuhan sektor pertanian. Kini purata saiz sawah masih kecil dengan purata dua hektar seorang petani dan purata umur petani padi dalam lingkungan 55 hingga 60 tahun," tambahnya. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |