+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 17, 2008

Hentikan sementara misi angkasawan kedua - Sheikh Muszaphar

Utusan Online


KUANTAN 15 April - Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menyarankan kerajaan menghentikan sementara misi penghantaran angkasawan kedua Malaysia ke angkasa lepas sebaliknya memberi perhatian pada bidang pendidikan dan menarik minat golongan muda.

Katanya, kerajaan perlu balik semula pada usaha memberi tumpuan terhadap akar umbi memandangkan misi penghantaran angkasawan seterusnya memerlukan kos yang tinggi.

"Keadaan ini berbeza semasa saya menyertai kumpulan angkasawan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada Oktober tahun lalu kerana kerajaan tidak perlu mengeluarkan satu sen pun sebagai timbal balas pembelian 18 pesawat pejuang Sukhoi 30MKM dari Rusia.

"Tetapi jika kerajaan ingin meneruskan misi itu, sebanyak RM100 juta diperlukan bagi membiayai kos penghantaran angkasawan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sepagi Bersama Angkasawan Negara di Dewan Kuliah Utama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini.

Lebih 1,000 mahasiswa universiti tersebut hadir pada majlis anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (CHEST) UMP itu.

Dr. Sheikh Muszaphar berkata, bagi menyemarakkan rasa cinta terhadap bidang astronomi di kalangan pelajar, golongan itu sepatutnya didedahkan dengan bidang tersebut bermula seawal usia tujuh tahun.

"Saya lihat sekarang, masih ramai kanak-kanak tidak tahu nama planet-planet yang ada. Bagi saya, Pusat Sains Negara perlu memainkan peranan yang lebih lagi dalam mengadakan program-program sedemikian," katanya.

Malah katanya, disebabkan bidang astronomi masih baru dan tiada permintaan di negara ini, hanya 10 peratus daripada lebih 400 jurutera bekerja di dalam bidang tersebut manakala selebihnya terpaksa mencari pekerjaan lain.

"Saya lihat Malaysia berada di landasan yang betul dalam bidang ini tetapi ia mungkin akan mengambil masa sehingga 10 tahun lagi," ujarnya.

Pada sidang akhbar itu juga, Dr. Sheikh Muszaphar memberitahu, beliau akan mendapatkan lesen juruterbang menjelang tahun 2013.

Usaha itu katanya, bukan bertujuan memenuhi keperluan sebagai seorang angkasawan tetapi untuk mencapai satu lagi impiannya iaitu bergelar juruterbang.

Bagaimanapun tambahnya, impian itu mungkin akan terlaksana dalam tempoh lima tahun lagi memandangkan beliau masih terikat selama setahun dengan program Angkasawan Negara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Bergelar juruterbang adalah satu lagi daripada impian saya, buat masa ini saya masih belum mendaftar untuk mendapatkan lesen itu tetapi saya akan berusaha mendapatkannya," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |