+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 17, 2008

Peniaga mungkin naikkan harga nasi

Utusan Online

JOHOR BAHRU 16 April - Beberapa pengusaha kedai makan tidak menolak kemungkinan menaikkan harga sepinggan nasi jika keadaan semakin meruncing berikutan kenaikan harga beras sekarang.

Pada masa ini sepinggan nasi kosong dijual pada harga RM1 dan kemungkinan para peniaga terpaksa menaikkannya kepada RM1.10 atau RM1.20.

Kenaikan harga tersebut dijangka terpaksa dilakukan jika pihak berkuasa tidak memantau kenaikan harga beras antara 10 hingga 20 peratus sejak Ahad lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai makan hari ini mendapati peniaga masih lagi menjual nasi putih pada harga lama, namun tidak menolak kemungkinan menaikkan harga jika masalah tersebut tidak diselesaikan segera.

Pemilik Restoran Rina, Nordin Masuri, 43, yang menjual nasi campur memberitahu, dia menggunakan beras Siam dan kenaikan yang berlaku kini bukan sahaja membebankan pengguna, malah golongan peniaga sepertinya.

"Seminggu saya beli beras sebanyak 100 kilogram dengan harga RM160. Bila harga beras naik, saya perlu keluar belanja lebih tetapi setakat ini saya masih menjual nasi putih dengan harga biasa.

"Sebenarnya peniaga kedai makan macam saya ini tersepit. Kami beli mahal dan kalau jual mahal, nanti pelanggan lari. Tidak dinafikan harga sepinggan nasi putih boleh mencecah RM1.20 sedikit masa lagi," katanya yang berniaga di Kulai di sini.

Sementara itu, Hamidah Abd. Rahman, 41, dari Bandar Baru Uda berkata, walaupun harga beras naik sejak Ahad lalu, peniaga tidak akan menaikkan harga makanan sesuka hati kerana khuatir ia boleh menjejaskan perniagaan.

"Peniaga nasi campur bukan sahaja terpaksa hadapi risiko kenaikan harga beras, tapi bahan mentah lain pun naik harga.

"Untuk berniaga, saya tidak akan guna beras kualiti rendah kerana saya perlu menjaga imej. Jadi bila beras naik, peniaga seperti saya memang tertekan dan kami juga perlu untung," kata pengusaha Restoran Sweet Steak 17 itu.

Sehubungan itu, Hamidah tidak terkejut jika pada masa akan datang, para peniaga sepakat menaikkan harga sepinggan nasi kosong kepada RM1.20.

Pengusaha Pasar Raya Jimat di Bandar Baru Uda, Ab. Rahman Kassim, 56, berharap sangat agar pihak berkuasa memantau kenaikan beras.

Dia yang telah berniaga sejak 20 tahun itu berkata, pada masa ini dia masih menjual makanan pada harga lama.

"Selalunya saya ambil beras 600 kampit seberat lima kilogram dan 10 kilogram untuk sebulan. Bila dapat tahu harga beras akan naik, saya tambah 20 peratus.

"Saya ambil lebih sebab selagi stok lama masih ada, bolehlah saya jual dengan harga biasa. Sebenarnya hendak naikkan harga pun tidak sampai hati," katanya.

Sementara itu, Halimah Abu Bakar, pemilik Perniagaan Nur Qiarah juga mengakui menjual beras mengikut harga yang disyorkan pada kampit beras berkenaan.

Katanya, peniaga tidak boleh menaikkan harga beras sesuka hati kerana pada setiap kampit telah sedia ada tanda harga.

"Kalau orang lain jual mahal, kedai saya tetap jual macam biasa. Malah, selalunya saya akan jual kurang daripada harga yang tertera di kampit.

"Selagi ia tidak merugikan, saya akan jual murah berbanding harga di kampit," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |