+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 27, 2008

Isu keris tak jejas maruah Melayu: Najib


Berita Harian

Oleh Sariha Mohd Ali


UTAMA KEBERSIHAN: Najib mengambil air yang ditapis untuk diminum pada program Inisiatif Air Asas Kesucian di Masjid At-Taqwa Peramu Jaya, Pekan, sambil diperhatikan Noraini (kanan), semalam.

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf berhubung isu menghunus dan mencium keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agung Umno 2005 dan 2006, tidak akan menjejaskan maruah orang Melayu kerana keris hanyalah simbol semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kecemerlangan orang Melayu dalam realiti sebenar bergantung kepada kejayaan mereka dalam pelbagai bidang strategik untuk terus bersaing dengan bangsa lain.

"Sebenarnya, maruah orang Melayu tak tersangkut pada soal keris, sebaliknya ia hanya akan terbela jika orang Melayu berjaya dalam pelbagai bidang termasuk politik, penguasaan ilmu, ekonomi dan sosial.


"Segala-galanya mesti memperlihatkan kemajuan orang Melayu pada tahap kecemerlangan yang mana kita boleh bersaing dalam negara dan di persada antarabangsa.


"Ketika itu, orang Melayu akan dilihat sebagai bangsa yang berjaya dan saya harap isu menghunus keris ini sudah tidak berbangkit lagi selepas Hishammuddin meminta maaf semalam (kelmarin)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Inisiatif Air Asas Kesucian sempena program Masjid Gemilang Pahang, di Masjid At-Taqwa Peramu Jaya, dekat sini semalam.Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad yang juga Pengerusi Yayasan Hikmat Insan Malaysia (Yahim).

Kelmarin, Hishammuddin ketika mengemukakan permohonan maaf itu berkata, tindakannya menghunus dan mencium keris menyebabkan masyarakat bukan Melayu ditakutkan oleh politik persepsi dan gembar-gembur terhadap keris sebagai satu simbol, sedangkan itu bukan niatnya.

Beliau juga memohon maaf kepada orang Melayu kerana tidak dapat mempertahankan keris sebagai simbol warisan bangsa.

Najib berkata, tindakan Hishammuddin memohon maaf membuktikan keprihatinannya terhadap isu itu, selepas ia dimainkan pihak tertentu sehingga dilihat seperti bersifat perkauman.

"Dia sanggup meminta maaf walaupun ada pihak yang kata bukan niat dia nak isytihar perang atau mahu disabitkan dengan sebarang tindakan bersifat perkauman sebab keris ini satu senjata dalam konteks kebudayaan kita.

"Disebabkan ada pihak memainkan isu ini, jadi langkah yang diambil Hishammuddin itu akan diterima secara positif sebagai sesuatu yang ikhlas dan mulia supaya isu ini tak berbangkit lagi," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata tindakan Hishammuddin itu adalah hak beliau yang berasakan ia jalan terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata permohonan maaf itu dilakukan mengikut budi bicara Hishamuddin untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Terserah kepada beliau (Hishamuddin) sama ada berpendapat apa yang dilakukannya menyebabkan kemarahan satu kelompok masyarakat dan dengan permohonan maaf itu boleh menyelesaikan masalah itu.

"Saya fikir beliau bukan mahu mencabar orang bukan Melayu atau menakutkan mereka kerana itu adalah sebahagian adat Melayu tetapi orang sudah memusing cerita sehingga menimbulkan kemarahan," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tebing Sungai Muar yang runtuh di pekan Panchor, di sini, semalam.

DI IPOH: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, menyifatkan Hishammuddin seorang yang `gentleman' kerana sedia memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya itu dan meminta semua pihak tidak lagi membangkitkan isu berkenaan.

"Beliau (Hishammuddin) adalah seorang pemimpin muda yang bagus. Tindakannya selaras kata pakar motivasi terkemuka, Dale Carnegie yang menyatakan `jika awak melakukan kesilapan, akuinya segera dan tegas.

"Saya perlu nyatakan di sini beliau sebenarnya pemimpin yang sangat cekap dan bagus. Tanpa beliau, saya tidak fikir hari ini kita boleh membina 41 sekolah Tamil hampir serentak... ia adalah wang (peruntukan membina sekolah) yang diberi kepada saya ketika menjadi Menteri Kerja Raya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pelajar baru Pusat Pembangunan Kemahiran Evertronics di sini semalam.

Di GEORGETOWN, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyambut baik tindakan Hishammuddin itu.

"Saya sokong sepenuhnya tindakan Hishammuddin memohon maaf walaupun agak lewat. Semoga ia dapat dijadikan iktibar kepada semua dan diharap perkara yang meresahkan ramai orang itu tidak diulangi mana-mana pihak," katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 peringkat Pulau Pinang di sini, semalam.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |