+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 27, 2008

Monorel tidak jadi? - Jika tiada persefahaman Kerajaan Pusat, Pulau Pinang – Nor Mohamed

Utusan Online

PULAU PINANG 26 April – Projek monorel di Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan jika tiada persefahaman antara Kerajaan Pusat dan negeri, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, perkara berkenaan bukan sahaja tertakluk kepada projek monorel malah projek-projek lain di bawah Kerajaan Pusat juga tidak akan dilaksanakan sekiranya tiada kerjasama dengan kerajaan negeri.

Ini kerana, katanya pelaksanaan projek tersebut akan melibatkan banyak perkara termasuk isu tanah dan mengikut perlembagaan, tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri.

‘‘Semua projek yang akan dilaksanakan di bawah Kerajaan Pusat melibatkan isu tanah, jadi jika mereka tidak dapat memberikan kerjasama, macam mana kita hendak buat projek.

“Projek monorel masih dalam peringkat perancangan tetapi kalau kerajaan negeri tidak berminat atau mempunyai pendapat lain untuk melaksanakannya, maka projek itu tidak akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) di Bangunan Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Khalid Ramli.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini projek monorel Pulau Pinang yang dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion.

Projek berkenaan merupakan projek mega yang dirancang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, projek- projek di bawah RMK-9 yang bernilai berbilion ringgit akan dikaji semula pelaksanaannya berikutan masalah kenaikan kos.

Bagaimanapun katanya, pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang berharga RM3 bilion hanya mengalami kelewatan.

Menurut Perdana Menteri, pembinaan infrastruktur itu terlewat ekoran kos pembinaan yang meningkat selain masalah mendapatkan tanah dan reka bentuk yang terbaik.

Menyentuh pelaksanaan projek mega di negeri ini, Nor Mohamed berkata, Kerajaan Pusat ikhlas dan jujur untuk membangunkan negara dan memberi faedah kepada semua rakyat.

‘‘Dalam melaksanakan pelbagai projek yang telah dirancang itu, kita memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri secara ikhlas supaya tidak ada masalah yang akan timbul,” ujarnya.

Terdahulu, Nor Mohamed memaklumkan bahawa MTPN Pulau Pinang akan menggantikan Majlis Tindakan Negeri (MTN) yang dahulunya dipengerusikan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

MTPN, katanya dilaksanakan untuk memastikan lebih banyak projek yang memberi faedah kepada rakyat dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang.

Beliau berkata, MTPN diperuntukkan kepada negeri yang bukan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ia dipengerusikan oleh pegawai pentadbiran Persekutuan dan dianggotai pegawai-pegawai kanan Persekutuan serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih Kerajaan Pusat.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |