+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 13, 2008

Rakyat perlukan perhatian, sumbangan Presiden PAS - Dato' Rahman Bakar

Harakahdaily

Awang Harun

Sat | Apr 12, 08 | 10:56:33 am MYT

KUALA TERENGGANU, 12 April (Hrkh) - Mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Abdul Rahman Bakar (gambar) berkata rakyat masih memerlukan perhatian dan sumbangan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau yakin dan percaya Presiden PAS akan dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya selepas sembuh dan sihat semula setelah diserang 'minor stroke' khamis lalu.

"Saya datang khusus untuk melawat beliau (Abdul Hadi) dan saya mendoakan supaya cepat sembuh dan juga dapat menjalankan tugas semula dengan sebaik-baiknya.

"Apabila saya melawat tadi, saya melihat keadaannya bertambah baik dan kita yakin bahawa beliau akan dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya kerana di bawah sana rakyat memerlukan perhatian dan sumbangan beliau," ujarnya ketika ditemui media selepas melawat Presiden PAS di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini semalam.

Beliau berharap agar pihak hospital (HSNZ) dapat memberikan rawatan terbaik serta menumpukan perhatian terhadap kesihatannya.

"Saya minta pihak hospital berikan rawatan yang sebaik-baiknya dan menumpukan kepada kesihatannya supaya dia (Presiden PAS) akan baik dan pulih dan kita percaya bahawa rawatan yang sedang diterimanya merupakan rawatan yang terbaik.

Abdul Rahman berkata rakyat tidak perlu risau dengan kesihatan Tuan Guru Abdul Hadi kerana berkeadaan baik dan stabil.

"Saya tidak nampak ada masalah yang kritikal atau masalah yang beratlah. Jadi kita doa supaya beliau cepat sembuh, pulih dan dapat kembali bertugas dengan sebaik-baiknya,

"Keadaan dia baik, alhamdulillah. Dia boleh bercakap dengan saya, bergurau, berjenaka dan baik, alhamdulillah," jelasnya ketika ditanya tentang perkembangan kesihatan Presiden PAS.

Beliau juga berkata Presiden PAS meminta agar ahli dan penyokong PAS bertenang serta tidak bimbang dengan tahap kesihatannya.

Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 7.20 pagi Khamis lalu setelah diserang 'minor stroke' (angin ahmar) dan dinasihatkan oleh doktor agar berehat secukupnya.

Harakahdaily dimaklumkan, Tuan Guru Abdul Hadi menyedari kesihatannya terganggu ketika bangun untuk bersahur dan dibawa ke HSNZ oleh ahli keluarga pada jam 7.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh pihak doktor menunjukkan tekanan darah dan jantung berkeadaan baik dan stabil.

Antara pimpinan PAS negeri yang melawat Presiden PAS itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Abu Bakar Chik, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dan Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Azman Shapawi Abd.Rani.

Manakala, pimpinan PAS Pusat yang turut berbuat demikian Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Pusat, Dato' Husam Musa dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob./wann

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |