+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 13, 2008

Tiada lagi tender rundingan terus, tiada lagi 'pena sakti' - MB Selangor

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob

Sat | Apr 12, 08 | 6:50:15 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 April (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan menghapuskan pemberian tender secara rundingan terus kepada kontraktor Bumiputera untuk mengelakkan tender terbabit dimonopoli pihak tertentu sahaja.

Menurut Khalid, keputusan itu dibuat selepas melihat sebanyak 98 peratus projek di bawah biayaan kerajaan negeri Selangor semasa pemerintahan kerajaan BN, diperoleh dan dilaksanakan oleh kumpulan tertentu sahaja.

Beliau menganalisa semua dan ada projek di negeri ini tertumpu kepada kumpulan tertentu, katanya.

"Walaupun nama syarikat berbeza tapi pemegang saham dalam syarikat itu tetap sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS), di Shah Alam hari ini.

Menurut Khalid, senarai nama kontraktor yang telah diberikan projek kerajaan negeri itu akan dihebahkan.

Namun ia memerlukan masa kerana perlu mendapat izin daripada pihak tertentu terlebih dahulu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemberian tender itu, ujarnya.

Khalid turut memberi jaminan bahawa syarikat kontraktor yang banyak mendapat kontrak kerajaan negeri menerusi kaedah rundingan terus itu tidak akan disenaraihitamkan, kecuali jika kontraktor terbabit gagal melaksanakan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan.

"Kita hanya akan senarai hitamkan mereka sekiranya tidak menunjukkan prestasi yang baik. Kita kena ada alasan yang rasional untuk bertindak demikian. Kita juga akan lihat dan kaji nilai projek yang telah diberikan kepada kontraktor terbabit," katanya.

Dalam ucapannya semasa majlis tersebut Abdul Khalid berkata beliau tidak akan menggunakan 'pena sakti' yang dikatakan menjadi milik Menteri Besar untuk memberi kebenaran dan kelulusan kepada mana-mana kontraktor mendapatkan projek.

"Saya tidak ada lagi 'pena sakti' kerana saya sudah buang. Tidak boleh lagi (kontraktor datang) ke pejabat Menteri Besar untuk dapatkan 'pena sakti' ini," katanya.

Khalid berkata, pihaknya tetap memberi bantuan kepada kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan projek tetapi berdasarkan kepada kemampuan, keupayaan dan pengalaman yang ada pada syarikat kontraktor terbabit.

Katanya segala urusan pentadbiran kerajaan negeri akan diputuskan bersama oleh semua anggota Exco dan pegawai yang terlibat, bukannya bergantung kepada 'pena sakti' Menteri Besar.

"Saya mahu mereka bersama-sama saya menyediakan segala bentuk keputusan. Saya tidak mahu hanya Menteri Besar menjadi pembuat keputusan tapi mahu semua Exco dan pegawai kerajaan juga terlibat sebagai pembuat keputusan," tegasnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |