MUAR 30 Mei - Para peniaga ayam di sekitar bandar ini terkejut dengan kenaikan harga bekalan ayam hidup dari ladang yang meningkat secara mendadak melebihi paras harga siling ditetapkan.
Mereka yang menerima surat mengenai kenaikan harga ayam hidup daripada Persekutuan Penternak Malaysia semalam kesal dengan kenaikan itu yang berkuat kuasa serta-merta.
Sekumpulan peniaga ayam yang kecewa dengan kenaikan tersebut mendakwa, harga baru itu ialah RM4.80 bagi seekor ayam iaitu naik sebanyak 30 sen berbanding harga siling ditetapkan untuk ayam hidup, RM4.50.
Jurucakap kumpulan itu, Latif Talip berkata, para peniaga bimbang kenaikan harga ayam itu menyalahi peraturan harga siling yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
"Berikutan kenaikan itu juga, kami tertanya-tanya apakah kementerian akan membenarkan kami menjual ayam proses melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6 seekor.
"Peningkatan harga ayam dari ladang itu menyebabkan para peniaga bimbang mengalami kerugian kerana ayam masih dijual pada harga lama sedangkan harga bekalan sudah naik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Latif, kementerian sepatutnya memaklumkan kepada semua pihak yang terlibat dalam industri ternakan dan penjualan ayam sekiranya mereka meluluskan kenaikan harga ayam dari ladang melebihi harga siling yang telah ditetapkan.
Katanya, jika kelulusan itu diberikan, peniaga juga perlu dimaklumkan mengenai harga baru ayam proses supaya ia boleh dijual lebih daripada RM6 seekor.
Tambahnya lagi, para peniaga termasuk mereka yang menjual ayam di kampung dan kedai kecil perlu membayar kos bagi setiap kenaikan itu selain kos para pekerja, dan peralatan mengusahakan perniagaan ayam.
Malah, kata Latif, peniaga ayam tidak menolak kemungkinan harga ayam dari ladang itu sengaja dinaikkan berikutan permintaan tinggi pada musim cuti persekolahan kerana terdapat banyak majlis kenduri perkahwinan berlangsung.
"Kenaikan harga ini secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat ditambah lagi dengan kenaikan harga barangan lain ketika ini.
"Sehubungan itu, kami meminta pihak kementerian mengumumkan harga yang ditetapkan untuk ayam dari ladang supaya rakyat tahu kenaikan itu dan kami boleh menaikkan harga ayam proses," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment