Utusan Online
|
|
KUALA LUMPUR 30 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan umat Islam supaya menghindari rasuah serta perbuatan keji lain kerana ia boleh menghancurkan sesebuah tamadun.
Perdana Menteri berkata, sebaliknya mereka harus menunjukkan contoh yang baik antaranya sentiasa bersikap dinamik iaitu dengan menjadikan ilmu pengetahuan sebagai sandaran utama.
''Islam merupakan agama suci dan menjadi panduan serta petunjuk kepada semua penganutnya. Islam juga mengajar umatnya tentang kebenaran.
''Namun begitu sebagai umat Islam kita bertanggungjawab memelihara agama ini dengan mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan keji seperti rasuah dan dalam masa sama sentiasa mengamalkan sikap dinamik,'' katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran buku yang ditulis oleh bekas Menteri Luar Iran, Dr. Ali Akbar Velayati yang bertajuk Ensiklopedia Islam dan Iran di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.
Selain Ali Akbar majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Dalam ucapannya, Abdullah juga menyentuh mengenai pentingnya semua ketua negara Islam tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh pemerintah terdahulu.
''Tamadun Islam telah melalui beberapa siri sejarah dan ia banyak memberi pengajaran. Umat Islam perlu menjadikan setiap pengajaran ini sebagai panduan.
''Bagi ketua dunia Islam, kita seharusnya menilai sejarah ini dan kemudian memahaminya. Tujuannya untuk memastikan kita (pemerintah Islam) tidak mengulangi kesalahan yang serupa,'' katanya lagi.
Dalam pada itu beliau menghargai usaha Ali Akbar menulis sebuah buku ilmiah kerana ia mampu memberi sumbangan ke arah meningkatkan jumlah buku berteraskan Islam.
"Dalam buku ini Ali Akbar menyentuh pelbagai perkara iaitu daripada pembinaan tamadun Islam hinggalah tajuk yang berkisar mengenai kemajuan sains dalam Islam.
"Buku ini amat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan di institusi-institusi pengajian tinggi. Saya amat hargai usaha beliau kerana berjaya menambahkan koleksi bahan rujukan Islam,'' katanya.
Ujar Abdullah, buku tersebut bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada pengkaji Islam tetapi ia juga berfaedah kepada cendekiawan dalam bidang lain.
0 comments:
Post a Comment