+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, May 5, 2008

Shahrir: Harga barang kawalan diseragamkan

Mstar Online

05-05-2008 01:34:17 PM

KUALA LUMPUR: Harga barang kawalan dan barang keperluan yang diberi subsidi akan diseragamkan di seluruh negara bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah mendapat faedah sebenar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata itu merupakan satu daripada tiga langkah yang akan diambil bagi menangani masalah kenaikan harga barang akibat daripada kenaikan harga minyak.

Langkah lain ialah mewujudkan sistem pengurusan subsidi dan menentukan golongan sasar yang sepatutnya menerima faedah itu.

"Kalau kita benar-benar nak melindungi golongan berpendapatan rendah, secara prinsipnya, kita perlu menyeragamkan sesuatu harga barang keperluan itu, yang dapat subsidi atau barang kawalan, seragam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Negara kita bukan terletak di Semenajung Malaysia sahaja," katanya kepada soalan Khairy Jamaluddin (BN Rembau) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Khairy bertanyakan sama ada kerajaan akan memperkenalkan langkah baru dalam menangani masalah kenaikan harga barang sejajar dengan kenaikan harga minyak dan harga makanan di seluruh dunia.

Shahrir bagaimanapun tidak menyatakan bila langkah penyeragaman itu akan dilaksanakan.

Beliau turut menjelaskan bahawa satu jawatankuasa inflasi negara telah dibentuk bagi menentukan dasar jaminan bekalan negara dengan peruntukan awal sebanyak RM4 bilion.

"Setakat ini, RM2.5 bilion telah dipohon bagi tujuan membantu sektor pertanian bagi menambahkan bekalan ruji negara, seperti menambah bekalan dan kawasan penanaman padi serta stok penimbal, kurangkan kos pengeluaran selain untuk menggalakkan amalan berdikari," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP Kepong), Shahrir berkata kerajaan tidak bercadang meletakkan kerosin (minyak tanah) sebagai sebahagian daripada 11 barang kawalan seperti petrol, diesel dan LPG.

"Kalau nak masukkan kerosin, beban inflasi akan bertambah. Sekarang kita dah berdepan dengan pilihan untuk subsidi makanan dan bahan api. Mampukah ini berterusan? Kita dah belanja RM30 bilion tanggung bahan api. Sekarang RM4 bilion lagi bagi makanan," katanya. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |