+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 17, 2008

Antara Abdullah dan Najib - DrM

Harakahdaily

Tun Dr Mahathir Mohamad

Tue | Jun 17, 08 | 02:43:13 PM



1. Kita diberitahu oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa dia dan Dato' Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan peralihan kuasa. Tetapi tidak pula disebut bila tarikh itu.

2. Najib pula berkata dia mahu kuasa (Presiden Umno dan Perdana Menteri) diserah kepadanya di waktu parti dan Kerajaan berada dalam keadaan sihat walafiat sepertimana yang kononnya pengganti Presiden dan Perdana Menteri dahulu semuanya menerima peralihan kuasa apabila parti dan Kerajaan sudah dipulihkan dan berada dalam keadaan sihat.

3. Sebenarnya semasa saya mengambilalih daripada Tun Hussein Onn ekonomi negara sedang merosot. Sebab itu langkah pertama yang diambil oleh saya ialah memotong gaji Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai tinggi sebanyak 10%.

4. Saya mengambil masa hampir tiga tahun untuk pulih semula ekonomi negara.

5. Keadaan Umno pun lebih kurang sahaja. Tidak lama selepas itu Timbalan saya letak jawatan dan mencabar saya.

6. Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak juga mengambilalih parti dan Kerajaan semasa keadaan tidak begitu sihat; Tunku selepas Dato' Onn Jaafar keluar dari Umno dan Tun Razak setelah rusuhan kaum berlaku dan Perikatan tidak bermaya.

7. Harapan Najib dia hanya akan terima jawatan Presiden dan Perdana Menteri di atas talam perak (silver platter) adalah alasan supaya dia tidak perlu bertanding pada Disember ini untuk jawatan Presiden.

Mengetahui sifat suka senang Dato' Seri Najib, Dato' Seri Abdullah telah janji untuk melepas kuasa pada tarikh yang tidak ditentukan. Sekaligus Dato' Seri Abdullah berjaya untuk melenyapkan kemungkinan dia akan dicabar oleh Dato' Seri Najib.

Dia (Abdullah) akan menang tanpa bertanding Disember ini. Dengan itu dia akan dakwa bahawa seluruh Umno menyokong kepimpinannya. Oleh itu tidak ada sebab dia patut letak jawatan.

8. Jika setelah kalah teruk di lima buah negeri dan satu wilayah dia masih dakwa dia menang, mustahil apabila menang tanpa bertanding jawatan Presiden dia akan letak jawatan.

Dia akan melegakan hati Umno dengan berjanji dia akan kerja kuat untuk pulihkan semula Umno dan Barisan Nasional dan selepas itu dia akan serah kuasa pada Dato' Seri Najib.

9. Saya percaya diwaktu ini ramai orang Dato' Seri Najib sedang menentukan berapa ramai bahagian yang akan mencalonkan Dato' Seri Najib.

Dengan kenyataan Dato' Seri Abdullah orang Dato' Seri Najib akan dapati banyak bahagian-bahagian yang tidak lagi akan calon Dato' Seri Najib.

Tanpa mendapat 60 pencalonan Dato' Seri Najib tidak akan isytihar kesanggupannya untuk betanding. Kalau dapat pun dia tidak akan berani mencabar kepimpinan Abdullah selepas janji yang dibuat oleh Abdullah.

10. Bilakah kita akan tahu hasil usaha pemulihan Umno oleh Abdullah? Kita akan tahu dalam Pilihan raya Umum ke-13.

11. Saya percaya kali ini Umno dan Barisan Nasional akan hancur langsung. Abdullah tidak akan jadi Perdana Menteri dan dianya tidak akan dapat serahkan jawatan Perdana Menteri kepada mantan Timbalannya, Dato' Seri Najib .

12. Saya bukan nujum dan saya tidak dapat teka apa yang akan berlaku lima tahun dari sekarang. Tetapi saya boleh ramal memandangkan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihan raya Umum ke-12 di bawah pimpinan Umnoi Abdullah yang di pengaruhi oleh anak dan menantunya.

Selain daripada memberi gula-gula kepada Bahagian dan Cawangan, dan berbilion Ringgit kepada Sabah dan Sarawak tidak ada usaha yang menepati kehendak dan mesej pengundi dalam Pilihan raya Umum ke-12.

Hanya dengan meletak jawatan barulah Abdullah dapat pulih Umno dan prestasi Kerajaan Malaysia. Tetapi ini tidak sanggup dibuat oleh Dato Seri Abdullah. Oleh itu tidak ada harapan yang Umno akan dipulihkan dan Dato' Seri Najib menjadi Perdana Menteri.

13. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato' Seri Rais Yatim akan terkapa-kapa tidak tahu nak buat apa. Apakah Tan Sri Muhyiddin akan bertanding Timbalan melawan Dato' Seri Najib atau bertanding Presiden melawan Dato' Seri Abdullah? Apakah jawatan yang hendak ditandingi oleh Dato' Seri Rais?

14. Sesungguhnya dengan pengisytiharan persefahaman antara dirinya dengan Dato' Seri Najib, Abdullah telah berjaya mematahkan segala cabaran terhadap dirinya. Disember ini Abdullah tetap menang tanpa bertanding. - chedet.com_

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |