+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 17, 2008

Harga minyak cecah paras tertinggi baru

Utusan Online

LONDON, 16 Jun - Harga minyak mentah melonjak ke paras tertinggi baru menghampiri paras AS$140 setong hari ini, di sebalik berita bahawa Arab Saudi bersedia meningkatkan pengeluarannya untuk mengekang kenaikan harga yang mengancam pertumbuhan ekonomi.

Kontrak utama minyak di pasaran hadapan New York, minyak mentah light sweet bagi hantaran bulan Julai telah mencapai AS$139.89, mengatasi paras tertinggi sebelum ini AS$139.12 yang dicatatkan pada 6 Jun.

Kontrak hadapan itu kemudiannya menyusut sedikit ke paras AS$138.35 setong, iaitu AS$3.49 lebih tinggi berbanding paras penutup Jumaat lalu.

"Cadangan semasa Arab Saudi itu akan meningkatkan pengeluarannya kepada 9.7 juta tong sehari pada bulan Julai, kadar pengeluaran bulanan yang tertinggi sejak Ogos 1981 seperti mana dilaporkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) hujung minggu lalu,'' kata seorang penganalisis minyak di Barclays Capital, Kevin Norrish.

"Bagaimanapun, kami berpendapat usaha itu tidak cukup untuk mengubah keadaan (kenaikan harga) berikutan jangkaan imbangan penawaran dan permintaan yang ketat.

Para peniaga hari ini berkata, harga minyak meningkat kerana kelemahan nilai mata wang dolar yang menjadikannya lebih murah untuk dibeli oleh para pembeli asing.

Pasaran juga meneliti kesan daripada berita pemberhentian sebahagian pengeluaran minyak di Norway - pengeksport kelima terbesar di dunia - selepas berlaku kebakaran di pelantar Laut Utara Ahad lalu.

Minyak mentah Brent North Sea bagi hantaran Ogos mencapai paras tertinggi dalam sejarah sebanyak AS$139.32 hari ini. Pada sebelah petang harganya berada pada paras AS$138.13 naik AS$3.02.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon berkata, Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Nuaimi merancang meningkatkan pengeluaran negara itu sebanyak 200,000 tong sehari pada bulan Julai tambahan kepada peningkatan 300,000 tong yang dibuat pada bulan Jun.

"Mereka akan menerima dengan positif apabila terdapat permintaan para pelanggan, jadi tidak akan berlaku kekurangan (bekalan),'' kata Ki-Moon ketika melawat negara Arab itu pada hujung minggu lalu.

Pengumuman rasmi Arab Saudi untuk menaikkan pengeluaran dijangka dibuat pada sidang kemuncak hujung minggu ini apabila ketua negara, menteri minyak dan pemimpin perniagaan bertemu di Jeddah, untuk membincangkan tentang kenaikan harga minyak.

Harga minyak melepasi paras AS$100 setong buat pertama kali pada awal tahun 2008 dan diniaga hanya pada paras AS$50 setong pada tahun 2007.

Menteri-menteri kewangan dunia yang bermesyuarat di Jepun pada hujung minggu lalu memberikan amaran bahawa harga minyak yang melonjak tinggi akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia. Mereka mendesak negara-negara pengeluar meningkatkan pengeluaran dan melabur lebih banyak wang untuk memastikan lebih banyak sumber itu dikeluarkan pada masa depan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |