+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 17, 2008

Anwar dapat lampu hijau cabar kesahihan pemecatannya

Agenda daily




Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari Isnin memberikan lampu hijau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar kesahihan dari segi perlembagaan, pemecatannya daripada jawatan Kabinet hampir 10 tahun lalu, oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Panel tiga anggota itu yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara membenarkan Anwar merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, bahawa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah sah pelaksanaannya dari segi undang-undang oleh Tun Dr Mahathir.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang -- sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut perlembagaan, dan sama ada Tun Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dahulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

Bernama melaporkan, Mahkamah akan memutuskan, pertama sama ada peruntukan Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa yang membatalkan pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam Kabinet Malaysia dengan berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa yang melantik mempunyak hak untuk membatalkan sebarang pelantikan yang dibuatnya;

Dan kedua, sama ada pemotongan nama Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan penggantian nama perayu (Anwar) dengan nama responden Tun Dr Mahathir sebagai menteri kewangan melalui perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 1998 dapat membaiki ketidakpatuhan responden pertama terhadap peruntukan jelas dalam perkara tersebut.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan Anwar itu dan beliau diperintah untuk memfailkan rekod rayuan dalam jangka masa 14 hari.

Bersidang bersama Malanjum ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamad.

Pada 23 Dis 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Tun Dr Mahathir dan kerajaan, untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah mengisytiharkan keputusan Tun Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 Sept 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal. Anwar menegaskan bahawa pembatalan pelantikannya patut dilakukan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan pembatalannya tidak boleh dikuatkuasakan oleh perdana menteri tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa pemecatan Anwar daripada jawatan Kabinet dilakukan mengikut undang-undang oleh Tun Dr Mahathir memandangkan kuasa untuk melantik dan memecat menteri terletak pada perdana menteri.

Anwar diwakili peguam Karpal Singh, Ram Karpal Singh, S.N.Nair dan Nicholas Netto. Beliau tidak hadir di mahkamah.

Terdahulu Karpal Singah berhujah bahawa Tun Dr Mahathir merupakan orang yang membuat keputusan untuk memecat Anwar daripada jawatan Kabinet dan menggugurkan beliau berkuat kuasa pukul 5.30 petang 2 Sept 1998 tanpa sebarang penunjuk bahawa Yang di-Pertuan Agong telah dinasihati beliau sebelum beliau (Tun Dr Mahathir) menyediakan dan menyerahkan surat pemecatan kepada Anwar.

Karpal Singh berkata Anwar, yang merupakan pemohon terhadap rayuan itu, bersetuju untuk tidak memohon mendapatkan kembali jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana perkara itu adalah akademik.

Sebaliknya Anwar mahu mahkamah menganugerahkannya ganti rugi.

Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi yang mewakili Tun Dr Mahathir dan kerajaan, membantah permohonan kebenaran itu dengan berkata perkara itu telah menjadi sesuatu yang akademik. - 16/6/2008

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |